Kesejahteraan rakyat Malaysia meningkat 0.6 peratus

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) meningkat 0.6 peratus kepada 121.0 mata indeks pada tahun lepas berbanding 120.3 mata indeks pada 2018, yang disumbangkan oleh pertumbuhan positif kesejahteraan ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan positif kesejahteraan rakyat Malaysia disumbangkan oleh peningkatan 11 daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada tahun 2019.

“Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan kesejahteraan ekonomi iaitu 2.3 peratus kepada 131.8 mata indeks pada 2019 berbanding 128.8 mata indeks pada 2018.

“Bagaimanapun, kesejahteraan sosial menurun 0.6 peratus daripada 115.6 mata indeks pada 2018 kepada 114.9 mata indeks pada 2019,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Khamis.

Laporan IKRM diterbitkan untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia daripada perspektif ekonomi dan sosial yang terdiri daripada lima komponen ekonomi dan sembilan komponen sosial.

Lima komponen ekonomi ialah pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan serta persekitaran kerja manakala sembilan komponen sosial ialah perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

IKRM yang mengukur perkembangan kesejahteraan rakyat juga menunjukkan kesejahteraan ekonomi telah meningkat dengan signifikan berbanding kesejahteraan sosial bagi tempoh 2000 hingga 2019.

Mohd Uzir berkata, kesemua lima komponen ekonomi dan enam daripada sembilan komponen sosial tumbuh dengan positif tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tiga indeks tertinggi dalam kesejahteraan ekonomi adalah komponen pengangkutan (139.6 mata indeks), diikuti komponen pendidikan (133.2 mata indeks) dan komunikasi (130.9 mata indeks).

"Dari segi kesejahteraan sosial pula, tiga indeks tertinggi ialah hiburan dan rekreasi (132.5 mata indeks), keselamatan awam (132.3 mata indeks) dan tadbir urus sebanyak 122.7 mata indeks,” katanya.

Pengiraan IKRM 2019 mengambil kira 68 indikator meliputi 26 indikator ekonomi dan 42 indikator sosial.

Selaras dengan keperluan dan situasi semasa, laporan ini telah ditambahbaik dengan penambahan satu indikator baharu iaitu penyakit berjangkit dalam komponen kesihatan.

IKRM dijadikan tanda aras penting dalam penggubalan dasar dan program ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.

Bagi memastikan kehidupan dan kesejahteraan rakyat terus diberikan perhatian, Jabatan Perangkaan Malaysia akan membuat kajian bagi pembangunan Malaysia Human Development Index (MHDI) dan Malaysia Happiness Index (MHI) pada tahun depan. - Bernama