MAIS agih kutipan fidyah berjumlah RM81,700

MAIS agih fidyah sebanyak RM81,700 kepada 817 penerima di beberapa daerah dan kawasan di negeri Selangor.
MAIS agih fidyah sebanyak RM81,700 kepada 817 penerima di beberapa daerah dan kawasan di negeri Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan kutipan fidyah sebanyak RM81,700 kepada 817 penerima di beberapa daerah dan kawasan di negeri tersebut.

MAIS dalam kenyataannya berkata, kesemua penerima layak menerima bantuan fidyah berupa set makanan kering seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

Kenyataan itu memberitahu, menerusi agihan fidyah berkenaan diharap dapat meringankan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"MAIS telah mengagihkan bantuan fidyah di daerah Klang, Petaling, Kuala Langat kepada 298 penerima, manakala daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam (309 penerima) serta daerah Hulu Langat (122 penerima)," kata kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan, bantuan disalurkan kepada mereka yang terlibat di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang seramai 88 penerima.

Kata kenyataan itu lagi, bantuan agihan diuruskan oleh MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) yang terpilih dan masjid-masjid di daerah yang terlibat.

"Antara NGO yang terlibat dalam agihan fidyah MAIS ialah Sahabat Hospital Selangor, PERKIM Cawangan Klang, Kelab Sosial dan Kebajikan Cakna Puncak Alam (ICARE) Dan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat," katanya.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Artikel Berkaitan: