Legenda Jepun perkuat Kelantan United

MASASHI MOTOYAMA
MASASHI MOTOYAMA
A
A
A

KELANTAN United (KUFC) mendapat sentuhan pemain legenda Jepun apabila menandatangani kontrak dengan Masashi Motoyama, 41, yang akan memperkuatkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bekas pemain kebangsaan dari negara matahari terbit itu dibawa masuk melalui kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd.

“Hari ini kita telah menghantar surat kontrak melalui e-mel kepada pemain itu untuk ditandatangani selama semusim bagi memantapkan jentera tengah pasukan.

“Kemasukan Motoyama dapat memperkuatkan suntikan 'DNA' bola sepak Jepun dalam pasukan KUFC untuk menghadapi saingan Liga-M apabila sebelum ini kami telah mendapatkan khidmat jurulatih muda Akira Hagashiyama dan pemain Yuki Tanigawa dari negara itu yang merupakan sebahagian daripada intipati kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan KUFC di Kota Bharu pada Rabu.

Motoyama merupakan bekas pemain kebangsaan yang terkenal dan telah bermain bersama pasukan di Liga 1 Bola Sepak Jepun iaitu Kashima Antlers selama 18 tahun dan Kelab Giravanz Kitakyushu di Liga 2 Bola Sepak Jepun selama empat tahun.

Che Abdullah berkata, selain membawa masuk pemain dan jurulatih, syarikat terbabit turut menaja RM250,000 kepada pasukan, selain terlibat dalam perancangan program-program pembangunan bola sepak akar umbi bersama KUFC melalui perjanjian kerjasama strategik ini.

"Melalui kerjasama ini, pihak Yakult Malaysia dan KUFC telah bersetuju untuk melaksanakan program pembangunan bola sepak akar umbi bersama, selain daripada pendedahan DNA bola sepak Jepun dalam KUFC," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: