X

Kindly register in order to view this article
!

Pagar kubur lesap dikebas pencuri

Mohd Norhan (kanan) dan Syahruzzaman (kiri) menunjukkan pagar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang 3 Jeram di sini, lesap dikebas pencuri dalam kejadian Rabu.
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 29 kepingan pagar jenis tahan karat dan tiga tiang besi pengikatnya dengan nilai keseluruhan lebih RM4,000 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang 3 Jeram di sini, lesap dikebas pencuri dalam kejadian Rabu.

Ketua Biro Tanah Wakaf Masjid Nurul Hidayah, Kampung Simpang 3 Jeram, Mohd Norhan Rais berkata, beliau menyedari kejadian itu selepas dihubungi nazir masjidnya jam kira-kira 10 pagi pada Rabu.

"Kehilangan pagar dan tiang besi pengikat pada mulanya disedari seorang penggali kubur di kariah tanah perkuburan bersebelahan dan kemudian memaklumkan kepada nazir masjid.

"Saya yang mendapat maklumat terus ke tanah perkuburan dan terkejut apabila mendapati pagar bahagian belakang dilesapkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Mohd Norhan berkata, pihaknya percaya perbuatan mencuri itu dilakukan lebih daripada seorang individu pada waktu malam atau awal pagi.

"Kami mengesyaki kegiatan ini dilakukan secara berkumpulan dan menggunakan peralatan khas untuk membuka skru selain meleraikan pagar terbabit dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Menurutnya, satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Jeram pada hari kejadian.

Katanya, pihaknya amat terkilan dengan kegiatan kecurian yang pertama kali berlaku di tanah perkuburan itu.

"Kami memang tidak menjangka pihak terbabit tergamak mencuri pagar memandangkan kami kerap meronda kawasan ini terutama selepas pemasangan empat lampu solar di kawasan ini sejak sebulan lalu," katanya.

Sementara itu, seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda Masjid Nurul Hidayah, Syahruzzaman Ngadnan, 35, berkata, kali terakhir beliau meronda tanah perkuburan itu sebelum Maghrib pada Selasa.

"Semasa rondaan di tanah perkuburan ini, saya dapati semua pagar dalam keadaan baik sebelum saya dikejutkan dengan kes kecurian pagar pada keesokannya (Rabu).

"Kami kecewa dengan kejadian yang berlaku ini dan berharap polis dapat menjalankan siasatan dan tangkapan kepada penjenayah terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan kejadian terbabit.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan boleh dipenjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!