X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua kongsi gelap 5 Colour diburu

Ayob Khan menunjukkan gambar ketua kongsi gelap yang sedang diburu polis pada sidang akhbar di IPK Johor pada Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang giat mengesan ketua kongsi gelap Ngo Seik Kee atau 5 colour, Tan Kim Boon, 36, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penarik kereta di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), 20 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Kim Boon dipercayai masih bebas dan berada di negeri ini dengan alamat terakhirnya di Jalan Putih, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat.

Beliau berkata, kumpulan kongsi gelap 5 colour itu aktif melakukan kegiatan menarik kenderaan dan terlibat dengan dadah.

"Hasil siasatan polis mendapati kumpulan kongsi gelap ini akan menarik kenderaan yang gagal membayar ansuran bulanan kepada bank. Namun kenderaan yang ditarik itu tidak diserahkan kepada bank sebaliknya dijual kepada pihak ketiga dengan harga yang lebih murah.

"Kenderaan itu juga dilekatkan dengan pelekat kereta sebagai tanda perlindungan geng tersebut yang membolehkan kereta itu bergerak di negeri ini dan tidak boleh keluar kawasan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK Johor di sini pada Khamis.

Pada 20 Disember lalu, media melaporkan seorang penarik kereta ditemui maut dengan beberapa kesan tetakan dalam longkang di lebuh raya berkenaan.

Mangsa berusia 34 tahun dan rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna Toyota Velfire yang ditarik di Johor untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur sebelum terbabas didakwa dihimpit dua buah kenderaan lain.

Mangsa kemudian ditetak beberapa kali dan disahkan meninggal dunia, manakala rakannya sempat melarikan diri.

Susulan kejadian itu, Polis Johor telah menahan 12 individu dipercayai daripada geng kongsi gelap Ngo Seik Kee berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun dalam beberapa tangkapan berasingan.

Pada Rabu, lima ahli geng kongsi gelap tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai berhubung kes tersebut.

Ayob Khan berkata, kegiatan menjual kereta tarik itu bukanlah perkara baharu yang dijalankan oleh ahli kongsi gelap.

Katanya, pembeli kenderaan tersebut perlu membayar kepada geng kongsi gelap berkenaan sebagai duit perlindungan kira-kira RM100 sebulan agar tidak ditarik oleh kumpulan penarik kenderaan yang lain.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!