Turunkan harga rokok untuk tangani aktiviti penyeludupan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

CADANGAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini menjadi perhatian berikutan cadangan beliau supaya harga rokok kembali diturunkan.

Lebih menarik perhatian apabila beliau sewaktu sesi perbahasan Akta Kastam 2020 di Parlimen pada 16 Disember lalu mencadangkan agar harganya diturunkan serendah RM 8 agar dapat bersaing dengan rokok seludup.

Semua ini katanya, demi menangani masalah penjualan rokok seludup yang begitu berleluasa dalam negara.

Menurut Ahmad Maslan, data yang diperolehi mendapati 64 peratus rokok yang terjual di pasaran tempatan adalah rokok seludup manakala rokok sah hanya 36 peratus.

Ini menyebabkan negara kerugian RM5 bilion setahun daripada hasil penjualan tembakau.

Rokok yang dicukai adalah berharga daripada RM12 hingga RM17.40. Rokok seludup pula daripada RM2 hingga RM8. Sebab itu ada kajian yang menyebut Malaysia adalah pasaran gelap rokok paling besar di dunia," kata Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan.

Pakar percukaian Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh yang merupakan Pengerusi TRICOR Malaysia dan juga Presiden Institut Akauntan Malaysia, turut mencadangkan supaya syarikat tembakau dibenarkan untuk memperkenalkan produk baharu yang dicukai pada kadar lebih rendah menerusi tahap eksais baharu.

Menurut beliau, kaedah itu akan membolehkan segmen baharu rokok sah dapat bersaing dengan rokok seludup dari segi harga.

Artikel Berkaitan:

Penggubal-penggubal dasar disaran supaya mengambil perhatian serius kepada kedua-dua cadangan tersebut bagi menjaga keselamatan pengguna daripada ancaman perdagangan haram yang semakin mengancam dan rumit, terutama pasaran rokok seludup.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah, perdagangan haram oleh kumpulan jenayah terancang transnasional adalah bernilai $870 bilion (RM3.5 bilion).

Ia bersamaan dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Belanda dan hampir menyamai KDNK Indonesia, sebuah negara yang memiliki 270 juta penduduk.

Lebih membimbangkan bila laporan Euromonitor International meletakkan Malaysia sebagai insiden rokok seludup nombor satu di dunia yang ia berada pada paras lebih 60 peratus.

Selain itu, berleluasanya pasaran rokok seludup menyebabkan pengguna terdedah kepada produk yang berkualiti rendah dan tidak mengikut peraturan pembuatan.

Malah, kaitan antara pasaran rokok seludup dan kumpulan jenayah terancang adalah cukup teguh.

Kumpulan pengganas antarabangsa selalunya menggunakan hasil daripada perdagangan haram untuk memenuhi akaun bank mereka, bagi membolehkan mereka mendatangkan ketidakstabilan dan kerosakan ke seluruh rantau ini.

Lebih membimbangkan, risikonya begitu tinggi kepada pengguna jika pasaran gelap ini dibenarkan berterusan.

Malangnya, semasa pandemik yang berlaku sekarang, ada pula pihak mencadangkan supaya ditingkatkan cukai tidak langsung, bagi membayar perbelanjaan besar kerajaan untuk menangani isu tersebut.

Ia mungkin menikam diri sendiri dan mengurangkan pula bahagian yang boleh dicukai di dalam ekonomi ekorang pertambahan di dalam aktiviti pasaran gelap.

Sebaliknya, penggubal dasar wajar melaksanakan dasar cukai yang sederhana dengan memastikan regim cukai tidak pula mencetuskan permintaan bagi alternatif haram.

Cadangan supaya dibenarkan rokok sah untuk dapat bersaing dengan rokok seludup dari segi harga haruslah dipertimbangkan secara praktikal, bukan emosi bagi membantu menangani isu ini.

* Luca Bertoletti merupakan felo di Competere Institute di Rome, penulis kolum untuk Atlantico Quotidiano dan menduduki lembaga saintifik New Direction Italia.