PRU15: Takiyuddin nafi akan tanding Parlimen Sik

Datuk Takiyuddin Hassan (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Raia Hotel & Convention Centre, pada Khamis.
Datuk Takiyuddin Hassan (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Raia Hotel & Convention Centre, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan bahawa beliau bakal bertanding bagi Parlimen Sik, Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pada masa sama beliau tertanya-tanya terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin itu yang mendakwanya akan bertanding di kawasan berkenaan.

"Tidak. Mana dengar ura-ura ini dan siapa yang bercakap mengenainya. Cuba tanya sendiri orang yang maklumkan perkara tersebut.

"Lagipun, kita belum tahu tarikh PRU," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Raia Hotel & Convention Centre di sini pada Khamis.

Takiyuddin yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) mengulas mengenai desas desus dakwaan bahawa beliau akan bertanding di Sik, Kedah pada pilihan raya itu nanti.

Ketika mengulas mengenai isu pembahagian kerusi, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak mengadakan perjumpaan untuk berunding mengenai perkara berkenaan.

"Kita seboleh-bolehnya tidak mahu ada pertandingan tiga penjuru yang akan merugikan parti dalam kerajaan sebaliknya mengharapkan pertandingan secara langsung," katanya.

Artikel Berkaitan: