Usahawan belia boleh mohon usahakan tanah terbiar GLC

Khairul Shahril (tengah) menyampaikan Anugerah Pengerusi Eksekutif 2020 kepada Mohamad Syahrul Anuar Mohd Rasip sambil diperhatikan Nordin (dua dari kiri) pada majlis berkenaan.
Khairul Shahril (tengah) menyampaikan Anugerah Pengerusi Eksekutif 2020 kepada Mohamad Syahrul Anuar Mohd Rasip sambil diperhatikan Nordin (dua dari kiri) pada majlis berkenaan.
A
A
A

PASIR SALAK - Kerajaan Perak mengalu-alukan usahawan belia secara individu memohon tanah-tanah terbiar milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri Perak untuk diusahakan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak berkata, Khairul Shahril Mohamed berkata, usahawan berminat boleh terus berhubung dengan pihak berkaitan bagi memohon mengusahakan tanah tersebut mengikut syarat ditetapkan.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri pernah meluluskan tanah pertanian untuk dibangunkan kepada dua pertubuhan belia seluas empat hektar tetapi tidak usahakan seperti dijanjikan.

"Hasil Majlis Perundingan Belia yang kita buat dahulu, antara usaha yang dicadangkan, setiap daerah memberikan 10 ekar (empat hektar) atau sebidang tanah kepada Majlis Belia Daerah (MBD) untuk tujuan pertanian.

"Namun, disebabkan dua MBD yang diberikan kelulusan tanah itu tidak melaksanakan seperti yang dihasratkan itu, menyebabkan pejabat tanah tidak menyahut cadangan usul tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti (PPKK) Institut Agro Usahawan (IGROW)di Dewan Millennium Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, tanah-tanah yang ingin diusahakan tidak mengira lokasi sama ada di kawasan bandar atau luar bandar asalkan bersesuaian untuk dibangunkan bagi tanaman kontan.

Katanya, semua permohonan perlu mengikut prosedur ditetapkan dan tanaman yang bersifat jangka pendek dibenarkan kerana tanah-tanah milik GLC akan dibangunkan mengikut perancangan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalu-alukan semua pihak khusus usahawan muda bergiat dalam bidang pertanian untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar tidak kira di mana walaupun di bandar sekali pun sebagai menyahut saranan titah Sultan Perak agar menumpukan usaha berkaitan jaminan bekalan makanan.

"Saya menggesa individu belia, kalau nak buat (bidang pertanian) kena berusaha ubah persepsi sama ada dalam kalangan jabatan mahupun agensi terhadap usahawan tempatan," katanya.

Dalam pada itu, mengenai latihan PPKK, Nordin berkata, keberhasilan graduan yang mengikuti program itu sangat membanggakan apabila 70 peratus berjaya mendapat kerja dalam perladangan, pertanian dan menjadi usahawan di tempat masing-masing.

Menurutnya, melihat kepada perkembangan tersebut, kerajaan negeri disarankan supaya meneruskan program latihan kemahiran dalam bidang pertanian, perladangan dan industri luar bandar sedia ada kepada semua golongan belia.