Pemandu lori muatan tar maut nahas tiga kenderaan

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian itu di Kilometer 273.7 Lebuhraya Plus arah Selatan pada Khamis. - Foto Ihsan PDRM
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian itu di Kilometer 273.7 Lebuhraya Plus arah Selatan pada Khamis. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

NILAI - Seorang pemandu lori muatan tar maut apabila kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 273.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu lori jenis Volvo dengan muatan tar dalam perjalanan menghala ke Selatan.

"Sebaik di tempat kejadian, lori dipandu mangsa melanggar belakang sebuah treler jenis Volvo membawa muatan baja yang dipandu di lorong dua oleh seorang lelaki berumur 55 tahun.

"Akibat perlanggaran, treler muatan tar itu terbabas ke kiri lalu melanggar sebuah lagi lori kontena jenis Scania yang membawa muatan barangan plastik dipandu seorang lelaki berumur 40 tahun di lorong paling kiri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, akibat kejadian itu, manga tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan susulan dan dua pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan: