Kes denggi meningkat 25 peratus di Negeri Sembilan

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Bilangan kes denggi yang didaftarkan di negeri ini terus meningkat sebanyak 18 kes atau 25 peratus sehingga 26 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, penambahan jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif kes denggi adalah sebanyak 2,876 kes berbanding 2,305 kes, minggu yang sama tahun 2019.

"Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 2,459 kes di daerah Seremban, 98 kes di daerah Tampin, daerah Port Dickson (90), Jempol (80), Rembau (69), Jelebu (54), dan 26 kes di daerah Kuala Pilah.

"Tiada kematian baharu denggi dilaporkan pada minggu semasa, menjadikan kumulatif kematian denggi kekal dengan 10 kes, berbanding 11 kes dengan kadar kematian kes sebanyak 0.5 peratus, pada tempoh yang sama bagi tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, sebanyak tujuh lokaliti wabak yang masih aktif, di mana kesemua lokaliti wabak berada di daerah Seremban.

Katanya, walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula 18 Disember sehingga 31 Disember 2020 di Seremban, aktiviti pencegahan dan kawalan masih diteruskan seperti aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes ditumpukan di premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

"Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan kawasan premis sendiri, sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes, sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi.

"Masyarakat amat digalakkan untuk menjalankan gotong-royong kendiri di kawasan rumah masing-masing di samping menjaga penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bersesuaian dengan slogan 'Kita Jaga Kita' bukan sahaja untuk menghindari jangkitan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara khususnya Negeri Sembilan, tetapi juga untuk mengekang penularan jangkitan denggi," katanya.