CEPat: Satu aplikasi untuk semua pembayaran

Cara mendaftar CEPat yang dapat memudahkan pembayaran dilakukan oleh pengguna.
Cara mendaftar CEPat yang dapat memudahkan pembayaran dilakukan oleh pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor melalui Smart Selangor Innovations Sdn Bhd memperkenalkan Citizen E-Payment Platform (CEPat) yang menjadi gerbang buat semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat.

Pengarah Urusan SSDU Innovations, Dr Fahmi Ngah berkata, platform atas talian yang diwujudkan menerusi aplikasi mobil dan dalam talian pada Ogos tahun lalu ini berasaskan keperluan rakyat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan negeri, institusi kewangan dan penyedia e-dompet.

DR FAHMI
DR FAHMI

Menurut beliau, teknologi berasaskan awan itu digunakan bagi menjamin ia boleh diakses pengguna dengan cepat dan selamat menerusi integrasi sistem disiapkan sehingga ke peringkat bawahan.

“Pembinaan aplikasi mengambil masa tiga tahun yang menyaksikan sembilan perkhidmatan berbayar kerajaan negeri Selangor dan lapan pihak berkuasa tempatan turut dimasukkan sama dalam sistem CEPat ini dan ia boleh dimuat turun menerusi Playstore dan AppStore.

“Perkhidmatan pembayaran atas talian itu melibatkan permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran di lapan PBT di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Dr Fahmi lagi, platform itu dibangunkan agar ia dapat mengumpulkan semua perkhidmatan berbayar kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk semua 46 e-dompet dalam pasaran.

“Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan harapan agar semua perkhidmatan berbayar kerajaan dalam negeri ini dapat dibuat menerusi platform CEPat menjelang tahun 2022 dan insyallah SSDU akan cuba merealilasikan aspirasi kerajaan negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Ini akan menjadi faktor utama buat Kerajaan Selangor dan sekali gus meningkatkan ekonomi tanpa tunai dalam negeri ini,” katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri turut berharap perkembangan platform CEPat dapat menggalakkan kerjasama pelbagai pemegang taruh dengan sektor swasta sekali gus memacu inovasi dalam pembayaran elektronik, teknologi kerajaan (GovTech) dan teknologi kewangan (FinTech).

Sembilan jenis perkhidmatan pembayaran berkaitan kerajaan negeri dan PBT yang boleh dibuat melalui CEPat.
Sembilan jenis perkhidmatan pembayaran berkaitan kerajaan negeri dan PBT yang boleh dibuat melalui CEPat.

“Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor juga menumpukan kepada penciptaan ekosistem ekonomi digital di negeri ini yang merintis peningkatan jumlah transaksi tanpa tunai di samping memacu pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi.

“SSDU juga menjemput semua pemain industri lain untuk sama bergabung dengan kami dalam menjadikan Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor satu kenyataan,” katanya.

Ujar Dr Fahmi, sehingga Disember ini, CEPat sudah merekodkan nilai transaksi berjumlah RM600,00 selepas lebih setahun pelancarannya.

Kata Dr Fahmi, situasi ini menunjukkan rakyat Selangor kini sudah semakin menerima perkhidmatan atas talian atau aplikasi yang memudahkan semua urusan mereka.

“SSDU sedang menambah baik perkhidmatan CEPat ini sebelum ia diimplimentasikan kepada seluruh PBT di Selangor akhir tahun ini,” katanya.