Datuk Hassan Harun meninggal dunia

Hassan Harun
Hassan Harun
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Bekas veteran UMNO, Datuk Hassan Harun meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini akibat jangkitan kuman di paru-paru pada jam 5.15 pagi Khamis.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak lelaki Allahyarham melalui perkongsian di laman sosial Facebooknya.

Hassan, 75, yang merupakan pengasas sekolah swasta iaitu Sekolah Kadir Adabi dan Sekolah Antarabangsa Wadi Sofea meninggalkan tujuh anak dan 12 cucu.

Allahyarham juga menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun ini dan bertanding jawatan Ketua Bahagian Bersatu Pengkalan Chepa.

Isterinya, Datin Che Fatimah Mohd Saad, 73, berkata, keadaan suaminya semakin teruk sejak Sabtu lalu, sebelum dibawa semula ke HUSM untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan membuang hempedu, suaminya dibenarkan pulang ke rumah empat hari kemudian dan berada dalam keadaan baik.

"Namun kesihatannya kembali merosot bermula Sabtu lalu apabila mengalami demam dan sesak nafas.

"Bila tengok keadaan dia makin teruk, saya bincang dengan anak-anak untuk bawa arwah ke hospital sekali lagi dan akhirnya dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu anak-anak berulang alik ke hospital untuk dapatkan maklumat semasa tentang arwah sehinggalah saya dihubungi pihak hospital pada Rabu untuk datang tengok arwah disebabkan keadaannya semakin lemah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Padang Bongor, Binjai di sini.

Che Fatimah (kanan) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Bongor Binjai pada Khamis.
Che Fatimah (kanan) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Bongor Binjai pada Khamis.

Menurutnya, tiada perubahan ketara ditunjukkan suaminya, tetapi arwah sering memintanya menghidangkan lempeng dan telur masak separuh untuk bersarapan sejak dua hingga tiga bulan kebelakangan ini.

"Sebelum ini, arwah amat jarang untuk makan lempeng, namun disebabkan masalah kesihatan dan selera yang berkurangan, hanya dua menu itu yang menjadi pilihannya sehinggalah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 14 Disember lalu," katanya.

Katanya, kehidupan seharian suaminya sebelum ini banyak dihabiskan dengan membaca buku dan membuat analisis berita-berita yang dipaparkan di dalam akhbar.

"Rutin arwah setiap pagi, selepas makan, dia akan baca surat khabar dan potong berita pilihan dia untuk simpanan. Itulah perkara yang dia tidak pernah lupa untuk buat setiap hari, termasuklah menanti berita-berita utama di televisyen," katanya.

Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di tanah milik keluarga bersebelahan Tanah Perkuburan Kampung Padang Bongor.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat bawa bapa berjalan: Ahmad Faris