MARDI hasilkan tiga produk inovasi makanan baharu

Che Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan antara produk inovasi baharu yang dilancarkan di MARDI Pasir Puteh.
Che Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan antara produk inovasi baharu yang dilancarkan di MARDI Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) terus menggorak langkah lebih jauh dengan penghasilan tiga produk inovasi makanan baharu melibatkan fungsi nilai tambahan yang tinggi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, MARDI tidak pernah jemu menghasilkan teknologi baharu yang boleh digunakan oleh golongan sasar meliputi petani, penternak, agen pengembangan, usahawan industri kecil dan sederhana serta sektor swasta.

“Tiga produk ini iaitu lof surimi berdaging, burger ikan dan kopi campuran ekstrak pegaga merupakan hasil penyelidikan Pegawai Penyelidik MARDI dari Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan.

“Apa yang penting, produk-produk inovasi tersebut mempunyai nilai protein yang tinggi dan karbohidrat, tiada asid lemak trans dan mengandungi antioksidan dan fitokimia yang tinggi berbanding produk komersil tempatan lain,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Pelancaran Produk Inovasi Makanan MARDI di MARDI Pasir Puteh, di sini.

Che Abdullah (kiri) meluangkan masa berkunjung ke Test Bed Teknologi MARDI Pasir Puteh pada Rabu.
Che Abdullah (kiri) meluangkan masa berkunjung ke Test Bed Teknologi MARDI Pasir Puteh pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Nik Roslan Idris.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, pihaknya juga optimis Test Bed Teknologi yang dibangunkan MARDI dapat membantu golongan sasaran mendapatkan ilmu, teknologi terkini serta khidmat nasihat teknikal secara terus.

Artikel Berkaitan:

“Test Bed Teknologi ini dibangunkan di beberapa lokasi pilihan di seluruh negara mengikut keperluan teknologi tertentu seperti contoh di Kota Kinabalu fokus pada teknologi hasilan ikan, Seberang Prai fokus pada bakeri dan Johor pula melibatkan pes dan sos.

“Untuk Pasir Puteh ini kita akan berikan tumpuan kepada pengkhususan teknologi makanan tradisional dan sejuk beku. Test Bed Pasir Puteh telah lama wujud dan telah lama memberi bimbingan dan latihan kepada golongan sasar,” katanya.

Test Bed Teknologi ialah makmal pemprosesan makanan yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan moden untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.