Ingat hanya 50 tetamu, kenduri 4 jam!

Pemandangan penempatan padat di lokasi Kluster Halban di Mahaad Tahfiz Darul Naim di Melor yang dilihat melalui skrin telefon bimbit menggunakan dron PDRM.
Pemandangan penempatan padat di lokasi Kluster Halban di Mahaad Tahfiz Darul Naim di Melor yang dilihat melalui skrin telefon bimbit menggunakan dron PDRM.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebarang kenduri-kendara termasuk perkahwinan, pertunangan, tahlil dan sebagainya yang mahu diadakan di negeri ini diingatkan dengan tegas perlu mendapatkan permit polis selain patuh hanya 50 tetamu sahaja yang dibenarkan dalam tempoh majlis yang berlangsung selama empat jam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, orang ramai juga diingatkan sentiasa berwaspada dan jangan sesekali menyalahgunakan permit kebenaran melangsungkan majlis perkahwinan ketika negeri terus merekod angka pandemik Covid-19.

Katanya, kegagalan penganjur menyediakan buku catatan tetamu, alat penyukat suhu, cecair pembasmi kuman dan kelalaian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan tegas.

“PDRM menyambut baik keputusan Majlis Keselamatan Negeri supaya penganjur majlis perkahwinan membuat permohonan terlebih dahulu daripada pihak polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kiri) yang mengawal dron bagi meninjau situasi semasa pergerakan penghuni di penempatan mereka melalui udara di lokasi Kluster Halban, Melor, Kota Bharu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kiri) yang mengawal dron bagi meninjau situasi semasa pergerakan penghuni di penempatan mereka melalui udara di lokasi Kluster Halban, Melor, Kota Bharu.

“Jadi sehingga hari ini banyak permohonan yang kita terima ini kerana majlis kahwin ini mereka sudah tetap lebih awal.

“Apa yang penting kita nasihatkan supaya kelulusan yang diberikan ini ini jangan disalahgunakan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Terdahulu beliau melakukan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di lokasi Kluster Halban - Maahaf Tahfiz Darul Naim di Melor di sini pada Rabu hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shafien berkata, sebagaimana ditetapkan, semua pihak terlibat wajib mematuhi SOP selain mendapatkan bantuan anggota Rela untuk mengawal majlis.

Tegasnya, jumlah tetamu hanya 50 orang untuk satu-satu masa dan jika ingkar arahan tindakan akan dikenakan kepada tetamu serta penganjur.

Jelas Shafien, masyarakat sedia maklum yang Jabatan Kesihatan Negeri mendapati punca penyebaran Covid-19 adalah daripada perkumpulan terutamanya membabitkan kenduri, pertemuan semula dan sebagainya.

Ambulans yang keluar dari pekarangan lokasi Kluster Halban bagi membawa pesakit Covid-19 dari penempatan mereka ke HRPZ II bagi menjalani rawatan lanjut.
Ambulans yang keluar dari pekarangan lokasi Kluster Halban bagi membawa pesakit Covid-19 dari penempatan mereka ke HRPZ II bagi menjalani rawatan lanjut.

“Sehubungan itu, tempoh penganjuran majlis bermula dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang perlu dipatuhi,” katanya.

Dalam perkembangan di lokasi Padang Halban di sini membabitkan Kluster Halban, sejumlah 15 penghuni positif Covid-19 dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

“Jadi, daripada keseluruhan 161 penghuni yang terdiri daripada usia kanak-kanak sehingga warga emas sudah lebih 60 mereka dijangkiti.

“Saya harap keadaan ini dapat dikawal dan polis juga menggunakan dron untuk memantau situasi di kawasan seluas 1.68 hektar ini kerana penempatannya jauh ke belakang dan padat,” katanya.