'Geng Mat Beruk' aktif curi lembu akhirnya tumpas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Dua sindiket yang aktif menjalankan kegiatan mencuri lembu dan kenderaan di negeri ini, Pulau Pinang dan Perak, tumpas selepas polis menahan 12 individu termasuk dua wanita di beberapa lokasi di negeri ini dan Pulau Pinang pada Ahad dan semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, susulan penahanan semua suspek yang dipercayai ahli ‘Geng Mat Beruk’ dan ‘Geng Azhar’ itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 30 kes curi lembu dan kenderaan yang dilaporkan di tiga negeri berkenaan sejak 2018.

Beliau berkata, semua suspek yang berusia antara 22 dan 36 tahun ditahan dalam serbuan di daerah Baling, Kulim dan Kuala Muda di negeri ini serta Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Polis melakukan serbuan pertama pada jam 10 pagi Ahad lepas di kawasan tempat letak kereta di stesen bas Kulim dan menahan dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai anggota Geng Mat Beruk.

“Hasil soal siasat ke atas kesemua suspek telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Mutiara, Kulim yang menyaksikan seorang lelaki ditahan, dan seterusnya membawa kepada serbuan ketiga di Tasek Gelugor dengan dua lagi lelaki ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, hasil penahanan tujuh suspek itu, polis turut menemui dan merampas pelbagai peralatan yang disyaki gunakan untuk kegiatan mencuri lembu antaranya termasuk pemotong besi, picagari mengandungi ubat pelali, tali dan paip yang dipercayai dijadikan sebagai sumpit.

Shamsudin berkata, tangkapan melibatkan Geng Azhar pula dilakukan semalam, di mana tiga lelaki ditahan di Kuala Ketil yang seterusnya membawa kepada penahan dua lagi lelaki di Bedong dan Kulim pada hari yang sama.

“Polis turut menemui dan merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri lembu, selain dua buah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil semakan ke atas kesemua 12 suspek itu juga mendapati 11 daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 379 dan 379A, Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama