Bot nelayan ditahan langgar syarat sah lesen

Bot nelayan yang dikendalikan dua lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen di Lumut pada Rabu. Gambar kecil: Shahrizan - Foto ihsan Maritim Malaysia
Bot nelayan yang dikendalikan dua lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen di Lumut pada Rabu. Gambar kecil: Shahrizan - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot yang dikendalikan dua nelayan tempatan selepas didapati melanggar syarat sah lesen pada kedudukan 3.5 batu nautika barat muara Sungai Burung di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot Kelas B dari Bagan, Hutan Melintang itu ditahan ketika rondaan penguatkuasaan di sekitar perairan negeri itu pada jam 11 pagi.

“Bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melanggar syarat sah lesen Kelas B dengan menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan iaitu di bawah 5 batu nautika dari pantai.

“Bot serta tekong berusia 50 tahun dan seorang kru berusia 25 tahun itu ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Baru untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Shahrizan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana bot nelayan yang didapati melakukan pencerobohan zon tangkapan ikan.

“Kita akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara melalui Op benteng laut di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Orang awam dan komuniti maritim perlu bekerjasama membanteras aktiviti jenayah serta kemasukan Pati dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011-6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim negeri Perak 05-6838737.

Artikel Berkaitan: