Skandal sumbangan politik landa Jepun

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (berdiri tengah) dan para tetamu bergambar di bawah pokok sakura di Tokyo pada tahun lalu. - Foto AFP
Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (berdiri tengah) dan para tetamu bergambar di bawah pokok sakura di Tokyo pada tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Pada Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang baharu meletakkan jawatan meminta maaf kepada wakil-wakil rakyat negara itu berhubung skandal pokok bunga sakura.

Dalam kenyataan maafnya itu, Abe yang meletakkan jawatan pada Ogos lalu atas sebab-sebab kesihatan selepas berkhidmat pada tahun 2012 bagaimanapun menafikan melakukan sebarang kesalahan dalam skandal tersebut.

Bagaimanapun, beliau yang berumur 66 tahun mengaku pernah membuat kenyataan palsu di Dewan Rendah Parlimen berhubung isu jamuan makan malam tahunan anjuran kerajaan ketika musim bunga sakura sehingga mendapat liputan media antarabangsa dan negara tersebut.

Skandal itu dikatakan bermula pada November 2019 sebelum bekas Perdana Menteri tersebut akhirnya memohon maaf selepas beliau merasakan ada tanggungjawab moral yang perlu dijelaskan berhubung kenyataan palsunya di Parlimen Jepun.

Dalam skandal itu, pejabat Perdana Menteri dituduh membayar lebih lapan juta yen (RM312,557) untuk majlis makan malam yang dihadiri oleh para penyokongnya selama lima tahun sehingga 2019.

Bagaimanapun, ketika itu, pejabat Abe gagal untuk melaporkan perbelanjaan majlis makan malam tersebut seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Jepun.

Jamuan makan malam musim bunga sakura anjuran kerajaan itu kali terakhir diadakan di Shinjuku, Taman Kebangsaan Gyoen di Tokyo pada tahun 2019.

Kes itu semakin mendapat perhatian selepas Abe secara sukarela sedia untuk disoal siasat oleh Pejabat Pendakwa Raya Awam Daerah Tokyo baru-baru ini berhubung bayaran untuk majlis makan malam tersebut.

Artikel Berkaitan:

Justeru pada sidang akhbar Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat di Jepun itu menyatakan tidak tahu menahu tentang pembayaran majlis makan malam berkenaan dan akan bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan daripada orang awam.

Permohonan maaf Abe juga dibuat selepas seorang setiausahanya yang didakwanya telah meletakkan jawatan didakwa berhubung skandal tersebut dan didenda sebanyak satu juta yen (RM39,060).

Menurut akhbar Asahi Shimbun, persoalan tentang kos majlis makan malam itu timbul kerana setiap tetamu yang hadir dikenakan bayaran hanya 5,000 yen (RM195) dan kadar bayaran berkenaan adalah murah.

Pihak penganjur juga dilaporkan tidak pernah menyenaraikan pendapatan atau perbelanjaan majlis berkenaan dalam laporan dana politik tentang majlis tersebut.

Parti dan jamuan makan malam sempena kembangnya bunga sakura merupakan tradisi lama bagi menghargai pencapaian terbaik dan hebat penduduk Jepun.

Bagaimanapun, para pendakwa raya mendapati bahawa seorang pembantu Abe ketika itu telah memasukkan lebih sembilan juta yen (RM351,647) bagi tempoh lima tahun yang menurut akhbar tersebut Abe telah memberikan maklumat palsu di Parlimen dan dalam sidang akhbar.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga (tiga dari kanan) turut meminta maaf kerana membuat kenyataan palsu tentang skandal dana politik di Parlimen Jepun - Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga (tiga dari kanan) turut meminta maaf kerana membuat kenyataan palsu tentang skandal dana politik di Parlimen Jepun - Foto AFP

Menurut Biro Penyelidikan Dewan Rendah Jepun, bekas Perdana Menteri itu telah membuat kenyataan yang bertentangan dengan kebenaran berhubung skandal tersebut sekurang-kurangnya sebanyak 118 kali.

Tiga kenyataan yang Abe telah buat itu ialah seperti 'Pejabat saya tidak terlibat', 'Tidak ada butiran bil' dan 'Baki (bayaran) tidak dilindungi'.

Menurut Japan Times, pada bulan Mei lalu, lebih 600 peguam dan sejumlah orang lagi memfailkan satu dakwaan jenayah dengan pejabat pendakwa raya di Tokyo serta menuduh Abe bersama dua lagi kumpulan sokongan pemimpin melanggar Undang-Undang Kawalan Dana Politik dan Undang-Undang Awam Pejabat Pilihan Raya.

Dakwaan itu menyatakan bayaran sebanyak 5,000 yen untuk setiap orang sebenarnya tidak mencukupi untuk membiayai kos makan malam di dua hotel mewah yang mana kadar normalnya adalah dua kali ganda.

Akhbar tersebut juga mendakwa kos majlis makan malam tersebut ialah 23 juta yen (RM898,543) untuk tempoh lima tahun lebih tinggi berbanding dengan bayaran yang dikutip daripada setiap orang yang hadir pada majlis berkenaan dengan kebanyakannya ialah pengundi di wilayah diwakili Abe iaitu di Yamaguchi, barat Jepun.

Bagaimanapun, pejabat pendakwa raya Jepun kemudian membuat keputusan untuk tidak mendakwa Abe yang mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP) berhubung skandal tersebut kerana kekurangan bukti sekali gus menamatkan siasatan kes berkenaan.

Pada tahun 2014, Yuko Obuchi yang pernah menjadi menteri untuk ekonomi, perdagangan dan industri dalam Kabinet Abe terpaksa bersara selepas sebuah kumpulan politiknya dituduh melanggar undang-undang sumbangan politik termasuk memberi subsidi bas ke Tokyo untuk para penyokongnya.

Baru-baru ini, bekas Menteri Pertanian, Takamori Yoshikawa menyatakan beliau akan meletakkan jawatan sebagai seorang wakil rakyat selepas dituduh menerima sebanyak lima juta yen daripada sebuah syarikat pengeluaran telur di barat Jepun.

Pengganti Abe iaitu Yoshihide Suga yang menjadi Perdana Menteri Jepun sejak September lalu pula turut memohon maaf kerana membuat kenyataan mengenai skandal dana politik di Dewan Rendah Parlimen yang kemudian didapati palsu.

Menurut AFP, ketika Suga dijangka tidak dikenakan pendakwaan, semua kejadian politik tersebut berlaku ketika rankingnya sebagai Perdana Menteri jatuh berikutan caranya mengendalikan gelombang ketiga kes koronavirus (Covid-19).

Sehingga Selasa lepas, angka kematian akibat pandemik itu ialah 3,152 orang dengan terdapat 224,000 kes tersebut di negara berkenaan manakala bekas Menteri Pengangkutan Jepun, Yuichiro Hata meninggal dunia akibat Covid-19 pada Ahad lalu. - Agensi