Pak belang, harimau kumbang tanpa organ dalaman

Sepuluh gading gajah bersama bangkai dua harimau spesies belang dan kumbang yang terdapat kesan tembakan ditemui mati dalam keadaan beku dalam sebuah peti ais di Tanah Merah pada Rabu.
Sepuluh gading gajah bersama bangkai dua harimau spesies belang dan kumbang yang terdapat kesan tembakan ditemui mati dalam keadaan beku dalam sebuah peti ais di Tanah Merah pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Bangkai seekor harimau belang dan harimau kumbang ditemui beku di dalam sebuah peti ais dengan kesan tembakan dan tanpa kemaluan serta organ dalaman di sebuah stor di Kampung Bukit Tok Che Dol, Kampung Ipoh, Tanah Merah.

Bangkai harimau belang betina dan harimau kumbang jantan dewasa yang dianggarkan berusia 10 tahun itu bernilai RM500,000 ditemui pada Operasi Bersepadu Khazanah jam 7.40 pagi.

Turut dijumpai 10 batang gading gajah berharga RM10,000 sehingga RM15,000 dalam stor sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, seorang lelaki iaitu penjaga stor berusia 25 tahun turut ditahan kerana dipercayai anggota sindiket pemburuan haram yang aktif sejak setahun lalu dalam kegiatan jenayah menjerat harimau dan kemudian menembak haiwan itu untuk dijual di pasaran gelap dan antarabangsa.

Harimau belang dan kumbang yang dibekukan dalam sebuah peti sejuk di sebuah stor di Tanah Merah.
Harimau belang dan kumbang yang dibekukan dalam sebuah peti sejuk di sebuah stor di Tanah Merah.

Katanya, intipan dilakukan sepasukan Cawangan D8 dan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan di lokasi serbuan bermula 3 pagi.

“Selepas selama lebih empat jam intipan, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand dipandu seorang lelaki memasuki kawasan itu dan berjalan ke stor kayu bersebelahan sebuah rumah serta membuka kunci pintu stor serta masuk ke dalam.

“Siasatan menemui dua bangkai harimau beku dalam peti ais dan gading gajah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini Rabu hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kemaluan harimau kumbang jantan yang dikerat dipercayai sudah dijual oleh pemburu haram bersama organ dalaman haiwan berkenaan yang keseluruhannya bernilai RM500,000.
Kemaluan harimau kumbang jantan yang dikerat dipercayai sudah dijual oleh pemburu haram bersama organ dalaman haiwan berkenaan yang keseluruhannya bernilai RM500,000.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Adnan Ismail.

Beliau berkata, modus operandi sindiket profesional itu menggunakan jerat besi bagi memerangkap harimau hingga tercedera sebelum menembak mati haiwan yang dilindungi itu.

Menurutnya, sindiket dipercayai ada kaitan dengan salah satu kes penemuan senapang jenis AK47 di Kelantan.

“Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 68 (1)(b) Akta Pemulihan Hidupan Liar dan Seksyen 68(2)(c) Akta Pemulihan Hidupan Liar (Akta 716),” katanya.

“Jika sabit kesalahan Seksyen 68(1)(b) boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala Seksyen 68 (2) (c) boleh didenda RM100,000 sehingga RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun,” katanya.

Peti ais yang menjadi tempat dua harimau disimpan hingga sejuk beku.
Peti ais yang menjadi tempat dua harimau disimpan hingga sejuk beku.