KPDNHEP kutip tiga kali ganda kompaun pelbagai kesalahan

Azanizam (kiri) dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Nor Nik Ishak (kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang penerima pada Program Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, di sini.
Azanizam (kiri) dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Nor Nik Ishak (kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang penerima pada Program Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, di sini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengutip tiga kali ganda kompaun iaitu lebih RM266,000 tahun ini berbanding RM86,000 tahun lepas.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, jumlah itu membabitkan 502 kes dalam pelbagai kesalahan.

Menurutnya, antara kesalahan berkenaan ialah tidak mempamerkan tanda harga, timbang sukat tidak diakui sah dan timbang sukat yang tamat tempoh serta membuat jualan murah tanpa mendapat kelulusan daripada pihak KPDNHEP.

“Bagaimanapun kes paling tinggi melibatkan timbang sukat dan masalah pamer tanda harga,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 786 kes tahun ini direkodkan berbanding 815 kes tahun lalu.

“Kita juga turut mengenakan denda lebih RM239,000 melibatkan kes mahkamah tahun ini berbanding RM165,700 tahun lalu.

“Untuk semua kes yang terlibat, nilai sitaan ialah sebanyak RM3.4 juta berbanding RM1.1 juta tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, di sini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azanizam juga memberitahu, sebanyak 829 aduan diterima pihaknya tahun ini berbanding 510 tahun lalu dan sebanyak 52,977 pemeriksaan dilakukan kepada premis yang berkaitan, berbanding 52,854 tahun lalu.