Lelaki tular bergari mangsa samun, bukan penjenayah

Gambar yang tular di media sosial menunjukkan mangsa dalam keadaan bergari.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan mangsa dalam keadaan bergari.
A
A
A

PARIT - Polis mengesahkan lelaki bergari yang tular di media sosial sejak pagi tadi merupakan mangsa bagi satu kes samun dan bukan penjenayah seperti didakwa sesetengah pihak.

Mangsa berusia 25 tahun itu diperlakukan empat lelaki yang mengaku sebagai polis, kononnya mahu membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan kereta jenis Honda HRV dinaikinya di sebuah kawasan di Teluk Perang, Parit sekitar jam 8.30 malam pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, mangsa yang akur telah memberi kerjasama namun tiba-tiba digari dan mata diserkup dengan topeng hitam.

"Mangsa telah dibawa menaiki kenderaannya itu untuk satu perjalanan yang panjang dan sepanjang tempoh itu, mangsa turut dipukul di badan dengan kayu serta dipaksa menyerahkan barangan miliknya iaitu dua telefon bimbit serta dompet berisi dokumen pengenalan diri, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai RM200," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika kenderaan itu melalui kawasan sebuah masjid lama di daerah Taiping.

"Ketika melalui kawasan itu, mangsa ada mendengar kuliah subuh. Menyedari semua suspek dalam keadaan leka, mangsa membuka pintu kereta dan terjun dari kenderaan.

"Mangsa berjaya melepaskan diri dan berlari ke dalam kawasan masjid sebelum bertemu orang awam di situ untuk meminta bantuan," katanya.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat awam memberitahu seorang lelaki dalam keadaan bergari dan cedera di masjid telah ke lokasi dan membawa mangsa ke Balai Polis Taiping.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan lanjut kemudiannya mendapati, mangsa telah dilaporkan hilang dan gagal dikesan sejak malam Selasa lepas.

"Berdasarkan laporan dibuat isteri mangsa, suspek ada membuat panggilan melalui telefon bimbit suaminya mengatakan mangsa telah terlibat dalam kemalangan dan meminta wang RM50,000 sebagai ganti rugi kerosakan kenderaan.

"Isteri mangsa yang curiga telah keluar bersama bapanya untuk mencari suaminya itu namun tidak berjumpa sebelum membuat laporan di Balai Polis Parit," katanya.

Nik Rosdi berkata, polis kini sedang mengesan keempat-empat suspek yang terlibat bagi siasatan kes di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan rompakan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kes itu dan ada melihat kenderaan Honda HRV nombor pendaftaran AKC 939 yang dilarikan suspek supaya segera menghubungi pihak polis.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222," katanya.