Sultan Johor terima taklimat perkembangan projek RTS

Sultan Ibrahim menerima cenderamata daripada Mohd Zarif dengan diperhatikan Ka Siong selepas mempersembahkan kepada baginda laporan terkini projek RTS Link di Istana Flintstones, Mersing pada Rabu. - Foto Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim menerima cenderamata daripada Mohd Zarif dengan diperhatikan Ka Siong selepas mempersembahkan kepada baginda laporan terkini projek RTS Link di Istana Flintstones, Mersing pada Rabu. - Foto Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim pada Rabu.

Ka Siong dan Mohd Zarif mempersembahkan kepada baginda berhubung laporan terkini projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.

Sultan Johor bertitah, baginda saling berkongsi beberapa pandangan mengenai kemajuan projek itu bersama-sama Ka Siong dan Mohd Zarif.

"Saya amat menghargai kehadiran kedua-dua mereka ke Johor untuk menyampaikan taklimat mengenai projek berkenaan walaupun mempunyai jadual kerja yang padat.

"Saya turut menekankan bahawa projek ini perlu berjalan secara lancar dengan menepati jadual pembinaannya," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Rabu.

Pertemuan bersama Sultan Johor berlangsung di Istana Flintstones, Mersing.

Pada 22 November lalu, Sultan Johor berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Majlis pecah tanah itu berlangsung di tapak projek berkenaan di bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Chagar yang disaksikan baginda secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini bersempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor pada 22 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan projek RTS Link itu bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosioekonomi, malah bakal mengubah landskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.

RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.

Merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura, RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2026.