Muafakat Nasional tidak dapat didaftar, nama sudah digunakan

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Pendaftaran nama Muafakat Nasional di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mungkin berdepan masalah kerana nama tersebut didakwa telah digunakan pihak lain.

Perkara itu dikongsi Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

"Saya difahamkan ada usaha untuk mendaftarkan Muafakat Nasional tetapi tidak dapat didaftarkan kerana nama itu sudah ada orang yang guna dan ada didaftarkan di RoS.

"Oleh sebab itu kita tidak boleh nak daftar, kalau mahu daftar kena buat perubahan nama. Tapi buat masa ini belum ada cadangan nama lain," katanya.

Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, kepimpinan UMNO dan Pas mencapai persetujuan untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi di RoS.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO, Pas setuju daftar Muafakat Nasional secara rasmi

Perkara tersebut disahkan melalui kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung MN I, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung MN II, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Amar secara peribadi turut membayangkan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung pada Jun tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mahu ketiga-tiga parti utama tersebut perlu merapatkan persefahaman dan mengurangkan pertembungan antara mereka.

"Kita tahu UMNO dan Bersatu ada masalah dan memang kita memahami, cuma kita berusaha supaya boleh mengetepikan pertembungan dan perselisihan dan mencari titik pertemuan untuk kepentingan bersama.

"Kena ada 'give and take' dalam perbincangan. Kita nak pilihan raya akan datang akan wujud kerajaan yang lebih gagah dan stabil yang bukan hanya menjaga kepentingan orang Melayu, Islam tetapi seluruh rakyat," katanya.