Tok penghulu antara lima dicekup positif dadah

Bungkusan lut sinar disyaki air ketum yang diletakkan di atas meja di luar sebuah rumah di Kampung Paya Datuk pada petang Selasa.
Bungkusan lut sinar disyaki air ketum yang diletakkan di atas meja di luar sebuah rumah di Kampung Paya Datuk pada petang Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Aktiviti seorang penghulu bersama empat rakannya yang menjadikan sebuah rumah di Kampung Paya Datuk sebagai tempat melepaskan gian akhirnya berakhir selepas mereka ditahan pada petang Selasa.

Kesemua mereka yang berusia antara 48 hingga 63 tahun itu ditahan polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, penghulu berusia 48 tahun itu ditahan bersama rakan-rakannya ketika sedang melepak di luar kediaman tersebut.

"Polis turut menemui kira-kira 15 liter cecair disyaki air ketum dalam 15 bungkus plastik yang diletakkan di atas meja di luar rumah tersebut.

"Penghulu itu juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala empat yang lain positif ganja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, salah seorang suspek mengakui merebus daun ketum itu bagi mendapatkan airnya dan kemudian secara sukarela mencantas kesemua pokok ketum berkenaan.

"Kesemua mereka direman selama empat hari sehingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: