16 pusat kuarantin masih dibuka di Johor

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 16 pusat kuarantin dibuka dan masih aktif di Johor sehingga Selasa.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, pusat tersebut melibatkan 12 hotel dan empat institusi latihan awam yang menempatkan 801 individu.

Selain itu, katanya, satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) juga diwujudkan dalam Kompleks Penjara Kluang bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa gejala dan gejala ringan.

"Sepertimana sedia maklum, terdapat satu kluster melibatkan institusi penjara iaitu Kluster Tembok Gajah. Kluster ini dilaporkan pada 18 Disember 2020 melibatkan Penjara Kluang.

"Sehingga 29 Disember, kumulatif kes kluster berkenaan setakat ini kekal sebanyak 654 kes.

"Tindakan pencarian kes secara aktif (ACD) oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dalam mengekang penularan secepat mungkin masih dilakukan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kluang bermula 19 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 110 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini sehingga Selasa iaitu 75 kes daripada kluster-kluster sedia ada, 22 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 13 kes daripada lain-lain saringan.

Menurutnya, ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 4,933 kes dan 2,455 kes telah pulih iaitu 49.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Artikel Berkaitan:

Vidyananthan berkata, terdapat 2,446 kes Covid-19 yang aktif namun telah diasingkan dan diberikan rawatan di hospital.

"Kumulatif kematian setakat ini adalah 32 kes," katanya.

Katanya, sehingga Selasa kumulatif kluster aktif di Johor berjumlah 24 antaranya Kluster Bukit Pasir di mukim Sungai Raya; Kluster Pagar Siput (mukim Kota Tinggi); Kluster Sungai Redan (mukim Kluang); Kluster Tampoi Jaya (mukim Tebrau) dan Kluster Batu 39 (mukim Api-api).

"Kluster Jalan Timah (mukim Plentong); Kluster Tembok Gajah (mukim Kluang); Kluster Utama Rini (mukim Pulai); Kluster Cahaya Mahsuri (mukim Tebrau); Kluster Desa Idaman (mukim Senai); Kluster Langkasuka (mukim Tebrau); Kluster Tenun Merah (mukim Simpang Kanan) dan Kluster Jalan Dalam (mukim Pulai)," katanya.