Cadang had motosikal bawah 70cc untuk remaja

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kategori pelesenan baharu hanya membenarkan remaja berusia 16 hingga 20 tahun menunggang motosikal di bawah 70cc menjelang 2025.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today pada Rabu, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, undang-undang itu perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, cadangan tersebut dilakukan selepas mengambil kira jumlah nahas jalan raya dan kadar kematian yang tinggi dalam kalangan remaja yang menunggang kapcai dan motosikal berkuasa kecil sehingga 150cc.

“Setiap tahun golongan dalam usia itu mencatatkan kadar kematian tertinggi berbanding kategori kumpulan umur lain untuk semua jenis kenderaan dan hampir tiada pengurangan ketara selama ini,” katanya.

Bakri berkata, cadangan berkenaan sudah disampaikan kepada kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Mengulas lanjut, beliau berkata, penjualan model kapcai yang berada di pasaran ketika ini memberi impak negatif kepada remaja khususnya di pinggir dan luar bandar.

Jelasnya, perkembangan terbaru itu turut menyukarkan polis membendung amalan menunggang motosikal secara berbahaya di seluruh negara.

“Model popular dalam kalangan golongan muda iaitu 150cc ‘Y Suku’ (Yamaha Y15ZR) mampu mencapai kelajuan sehingga 160km sejam.

Artikel Berkaitan:

“Melalui operasi yang dilakukan polis trafik di seluruh negara, kami dapati banyak jenis kapcai berbahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain," katanya.

Dalam laporan yang sama, Free Malaysia Today turut menyatakan cadangan berkenaan telah dimasukkan dalam minit Mesyuarat Agung Tahunan MKJR ke-60 dan diserahkan kepada MOT bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan kategori motosikal B3 yang baharu.