Sila log masuk terlebih dahulu.

Bas henti-henti RM1 beroperasi selewatnya April depan

Mohd Zolkafly Harun
Mohd Zolkafly Harun
A
A
A

IPOH - Perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM1 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan Chenderiang akan dilaksanakan selewat-lewatnya, April depan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu kini dalam peringkat tender bagi memilih syarikat operator bas.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan tender ini.

"Sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan ini akan kita laksanakan sebolehnya sebelum Ramadan tahun hadapan," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurutnya, perkhidmatan itu perlu disegerakan selaras dengan pelaksanaannya untuk memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk di pedalaman terutama orang asli.

"Sebelum ini memang tidak ada perkhidmatan bas disediakan di kawasan itu, jika bas ini beroperasi kelak, ia pasti dapat memberi manfaat kepada lebih 8,000 penduduk orang asli di kedua-dua kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memang bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan sama ke kawasan DUN lain namun bergantung kepada keperluan dan permintaan.

"Kita akan lihat dulu impak pelaksanaan bas ini dalam tempoh satu tahun, sekiranya berjaya dan mempunyai keperluan, maka perkhidmatan sama akan diperluas ke kawasan lain pula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pertengahan Disember lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan peruntukan RM2 juta dalam Belanjawan Negeri 2021 bagi perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM 1 ke Daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar.

Kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti itu di Daerah Manjung sejak tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lanjut berhubung insiden di Jambatan Sultan Yusof di Batu 5, Teluk Intan Sabtu lepas hingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal tercampak ke dalam Sungai Perak.

Katanya, sebahagian laluan di kawasan jambatan itu masih dalam pembinaan dan dimaklumkan pihak kontraktor telahpun memasang dan meletakkan papan tanda keselamatan untuk panduan pengguna.

"Kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak, cuma kita akan ambil tindakan susulan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.