Pulau Pinang masih harap feri ikonik dikekalkan

Kon Yeow sempat berswafoto berlatarbelakangkan sebuah feri ikonik yang masih beroperasi hari ini.
Kon Yeow sempat berswafoto berlatarbelakangkan sebuah feri ikonik yang masih beroperasi hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang masih berharap feri ikonik yang menjadi salah satu kebanggaan negeri ini dapat diselamatkan dan terus berkhidmat pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sebelum ini mencadangkan pengendali pengangkutan air itu, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan kerajaan Persekutuan membeli feri baharu dengan reka bentuk sedia ada sebagai ganti feri lama.

Menurutnya, pembelian feri baharu boleh menjimatkan kos penyelenggaraan dan operasi amat membebankan sehingga menyebabkan penggunaan feri sekarang digantikan dengan katamaran.

"Rakyat di negeri ini mahu kita mengekalkan feri yang menjadi ikon dan identiti Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Feri Pulau Pinang: DAP kesal dengan Tengku Zafrul

Katamaran ganti feri di Pulau Pinang

SPPP sedia bas percuma kepada penumpang feri

"Kita belum tahu nasib feri ini tetapi saya tahu cadangan kita sebelum ini tidak akan menjadi kenyataan buat masa ini. Kita serahkan kepada PPSB untuk memastikan pengangkutan yang bersejarah ini terus dipelihara," katanya ketika melakukan tinjauan perkhidmatan feri lama dan baharu di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow (tiga dari kiri) bersama Teik Cheng (dua dari kiri) ketika meninjau hari-hari terakhir penggunakan feri ikonik di negeri ini.
Kon Yeow (tiga dari kiri) bersama Teik Cheng (dua dari kiri) ketika meninjau hari-hari terakhir penggunakan feri ikonik di negeri ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng.

Kon Yeow berkata, bagi mengekalkan nostalgia penggunaan feri terdapat cadangan menggunakan dua buah feri lama untuk dijadikan restoran dan muzium yang akan menjadi tarikan baharu di negeri ini.

Beliau juga berharap masa depan dan penggunaan feri ikonik ini dapat diteruskan walaupun sekadar menjadi pengangkutan basikal dan motosikal sahaja.

Sebelum ini, pada 15 Disember lalu, SPPP mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun depan sementara feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.

Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.

Bermula 1 Januari 2021 hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.

No Image Caption

Sementara itu, Teik Cheng berkata, pihaknya akan membuka 'Request For Proposal' (RFP) kepada orang ramai termasuk kerajaan negeri untuk mencadangkan penggunaan feri lama agar pengangkutan laut tertua di negara ini akan terus digunakan dan terus menjadi kebanggaan Pulau Pinang.

Selain itu, pihaknya juga akan menaik taraf terminal di kedua-dua bahagian tanah besar dan pulau agar lebih selesa untuk kegunaan orang ramai.

"Kita ambil maklum semua isu yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri dan kita akan pastikan salah sebuah feri lama iaitu Pulau Angsa akan terus digunakan untuk mengangkut pengguna basikal dan motosikal.

"Selain itu, saya memberi jaminan dalam tempoh interim ini, tiada sebarang kenaikan tambang yang akan berlaku dan kita juga akan pastikan perkhimatan yang disediakan nanti terbaik untuk rakyat Pulau Pinang," katanya.