Kerajaan hormati cadangan tambah baik Jakim: Zulkifli

Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pek Makanan di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini pada Rabu.
Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pek Makanan di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini pada Rabu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan menghormati sebarang cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak termasuk rombakan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani isu kartel daging import yang hangat diperdebatkan buat masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya berterima kasih atas segala pandangan terutamanya daripada golongan cendekiawan Islam dan tokoh-tokoh dalam menambah baik institusi itu.

Menurutnya, beliau akan melihat segala pandangan tersebut, namun Jakim akan tetap meneruskan dan melaksanakan tugasan mereka dengan penuh tanggungjawab.

"Kita akan teliti apakah saranan-saranannya. Insya-ALLAH, kita menghormati semua pandangan tetapi ia perlu dihadam dan dilihat dari pelbagai sudut.

"Tapi jika ambil cadangan itu (rombakan Jakim), ia melibatkan banyak pihak dan perkara ini kita kena teliti sebaik mungkin.

"Tapi dalam isu ini (kartel daging import), Jakim sudah ada prosedur operasi standard (SOP) terutamanya dalam pengimportan daging halal dan seumpamanya, tindakan-tindakan drastik kita akan ambil dalam masa yang terdekat, Insya-ALLAH," katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pek Makanan di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Haniff Omar agar rombakan besar-besaran perlu dilakukan ke atas Jakim bagi memantapkan kredibiliti dan integriti institusi itu.

Tun Haniff berkata, pendedahan mengenai kartel daging import oleh media baru-baru ini adalah satu tamparan terhadap jabatan itu yang seharusnya melindungi dan mengawal ketat institusi halal negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai keperluan untuk meningkatkan tahap sekuriti label halal susulan laporan yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu kartel daging import yang menggunakan label halal palsu, Zulkifli berkata, pihaknya akan melihat semua aspek dalam membuat penambahbaikan.

"Insya-ALLAH, semua perkara kita akan tengok. Dari aspek SOP terutamanya, kita akan selesaikan dengan secepat mungkin.

"Kita akan panggil pemain-pemain industri daging import untuk bincang dari sudut SOP dan garis panduan untuk dipatuhi bagi meningkatkan lagi integriti dalam kepatuhan syariat Islam," katanya.

Ditanya tentang adakah Jakim hanya membuat lawatan awal sebelum meluluskan logo halal susulan penambahbaikan yang dicadangkan Jakim, Zulkifli berkata, pemantauan dibuat dari masa ke masa sebelum memberi kelulusan untuk logo halal.

"Sebenarnya ada dan saya juga dapat maklumat mereka ini pergi dan pemantauan juga dibuat dari masa ke masa namun apabila kes seperti ini, kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan supaya hilang segala bentuk was-was yang ada, Insya-ALLAH," katanya.