'Nak dapat RM40 sehari pun susah'

Yee Kew bergambar bersama sebahagian pemandu teksi yang menunggu pelanggan di hentian teksi hadapan pasar raya Ong Tai Kim (OTK) Batu 5, Jalan Gombak pada Selasa.
Yee Kew bergambar bersama sebahagian pemandu teksi yang menunggu pelanggan di hentian teksi hadapan pasar raya Ong Tai Kim (OTK) Batu 5, Jalan Gombak pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu teksi di hentian teksi hadapan pasar raya Ong Tai Kim (OTK) Batu 5, Jalan Gombak di sini mengeluh kerana tiada pelanggan tetapi setiap hari mereka perlu menyediakan RM40 untuk sewa kereta tidak termasuk tol dan minyak.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew berkata, keluhan itu disuarakan pemandu teksi ketika menyampaikan sumbangan makanan kepada kira-kira 50 pemandu terbabit di hentian teksi hadapan pasar raya Ong Tai Kim (OTK) Batu 5, Jalan Gombak pada Selasa.

Yee Kew berkata, terdapat puluhan teksi menunggu pelanggan di stesen teksi itu tetapi tidak ramai penumpang menggunakan perkhidmatan itu dalam tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, pemandu teksi yang ditemui turut memaklumkan mereka sukar menerima pendapatan walaupun RM40 sehari sejak sebelum Covid-19 lagi akibat persaingan dengan perkhidmatan e-hailing.

"Keadaan mereka lebih buruk selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kerajaan tidak mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan beban mereka.

"Apabila krisis berlanjutan, pemandu teksi terpaksa mengharungi situasi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Yee Kew (kiri) bersama pemandu teksi yang ditemui semasa menyampaikan sumbangan keperluan makanan di hentian teksi hadapan pasar raya Ong Tai Kim (OTK) Batu 5, Jalan Gombak pada Selasa.
Yee Kew (kiri) bersama pemandu teksi yang ditemui semasa menyampaikan sumbangan keperluan makanan di hentian teksi hadapan pasar raya Ong Tai Kim (OTK) Batu 5, Jalan Gombak pada Selasa.

"Rezeki mereka ialah memandu teksi sejak sekian lama. Dalam keadaan yang tidak menentu sekarang, mustahil untuk mereka mencari pekerjaan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada pemandu teksi dari lokasi lain turut datang apabila mendapat berita terdapat pengedaran sumbangan makanan kerana mengalami masalah sama.

"Saya berharap para penderma boleh turut serta memberi sumbangan makanan. Pada saat-saat genting sebegini, semua orang harus saling bantu membantu untuk mengharungi krisis bersama," katanya.

Tambahnya, sumbangan diperlukan termasuk makanan asas seperti beras, minyak, bihun, mi, gula, susu pekat, tin sardin dan makanan kering.

"Penderma yang berminat, boleh hubungi Cik Chong di 011-39350076, " katanya.