Kapten baharu TFC dipilih dalam masa terdekat: Nafuzi

Nafuzi sedang menilai calon yang sesuai untuk dilantik menjadi kapten TFC.
Nafuzi sedang menilai calon yang sesuai untuk dilantik menjadi kapten TFC.
A
A
A

CALON kapten pasukan Terengganu FC (TFC) baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Lee Tuck akan dipilih dalam masa terdekat.

Pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain berkata, pemilihan calon ketua pasukan tersebut hanya akan dibuat selepas beliau dapat mengumpulkan semua barisan pemainnya bagi musim 2021 dalam sesi latihan di padang.

“Dua pemain import, baru sahaja menyertai kami (TFC) dan kami tunggu tiga lagi pemain import dalam masa terdekat ini. Selepas kami mempunyai pemain yang lengkap dan jalani latihan bersama, dari situ kami lihat dan nilai siapa calon yang sesuai menggantikan Lee Tuck.

“Lagipun kita mempunyai pemain yang berpengalaman dalam kepimpinan, sama ada pemain import atau tempatan, jadi kita akan tengok siapa yang sesuai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

TFC sebelum ini telah memperkenalkan pemain baharunya iaitu bekas pemain skuad Tok Gajah Mohd Faisal Abdul Halim, bekas pemain UiTM FC Muhamad Arif Mohamed Anwar, bekas kapten UKM FC Asnan Ahmad dan bekas pemain Felda United Muhammad Azarul Nazarith Azhar.

Selain itu, skuad Penyu turut ‘memborong’ tiga pemain Kelantan iaitu Mohd Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohamad Hakimi Abdullah.

Skuad itu juga turut memperkenalkan dua daripada lima pemain import baharunya iaitu Petrus Shitembi, pemain berasal dari Namibia yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Sabah serta Carli de Murga, bekas pemain pasukan Liga Satu Thailand, Chonburi FC, yang berasal dari Filipina dan berdarah kacukan Sepanyol. - Bernama

Artikel Berkaitan: