Pembantu tadbir 'songlap' wang pesakit kusta

Tertuduh (kanan) mengaku bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah wang bantuan pesakit kusta berjumlah RM6,660.
Tertuduh (kanan) mengaku bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah wang bantuan pesakit kusta berjumlah RM6,660.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan pecah amanah wang bantuan pesakit kusta berjumlah RM6,660.

Tertuduh, Nurfatihah Rahimi, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, pembantu tadbir Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia (Malra) itu diamanahkan untuk mengagih wang tunai berjumlah RM7,560 kepada 37 pesakit kusta secara serahan tangan.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa hanya menyerahkan RM6,600 kepada 33 pesakit dan menyalahgunakan baki wang yang tidak diagihkan sebanyak RM960 pada Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Nurfatihah didakwa melakukan jenayah sama membabitkan wang tunai berjumlah RM7,000 kepada 33 pesakit sama secara serahan tangan, namun hanya mengagihkan RM4,600 kepada 23 pesakit kusta dan menyalahgunakan baki wang tidak diagihkan sebanyak RM2,400 pada Januari tahun lalu.

Sementara itu, pada pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pecah amanah jenayah wang tunai sebanyak RM7,300 kepada 33 pesakit sama secara serahan tangan, namun hanya mengagihkan RM5,600 kepada 28 pesakit dan menyalahgunakan baki wang tidak diagihkan sebanyak RM1,700 pada Februari tahun lalu.

Bagi pertuduhan terakhir, Nurfatihah didakwa pecah amanah jenayah wang tunai sebanyak RM7,00 untuk diagihkan kepada 32 orang pesakit secara serahan tangan, namun hanya mengagihkan RM5,400 kepada 27 pesakit kusta dengan menyalahgunakan baki wang tidak diagihkan sebanyak RM1,600 pada Mac tahun lalu.

Keempat-empat kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Malra, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada jam 8 hingga 5 petang dalam tempoh empat bulan itu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Bazli tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Kes ditetapkan pada 27 Januari depan.