Penggunaan air, elektrik di Perak meningkat ketika PKP

Mohd Zolkafly (kanan) menunjukkan poster Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Mohd Zolkafly (kanan) menunjukkan poster Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kadar penggunaan air dan elektrik dalam sektor kediaman di Perak meningkat antara 40 sehingga 100 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kadar itu membabitkan peningkatan bayaran RM100 ke RM300 bagi setiap bil isi rumah berbanding sebelum PKP.

"Di Perak ketika ini dianggarkan terdapat lebih 400,000 rumah yang menerima bekalan air dan elektrik dan jika kita jumlahkan purata penggunaan ini mencecah lebih RM60 juta.

"Jumlah ini adalah tinggi, namun kita akui peningkatan dalam tempoh PKP memang tidak dapat dielakkan kerana hampir semua isi rumah berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh tersebut," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Kempen berkenaan dilancar bagi menggalakkan warga negeri ini menggunakan sumber air dan tenaga secara optima dan berhemah tanpa pembaziran.

Mohd Zolkafly berkata, menerusi kempen itu, pihaknya mensasarkan penurunan penggunaan tenaga dan air sebanyak 25 peratus iaitu penjimatan sehingga RM15 juta.

Katanya, walaupun tempoh PKP telah tamat, namun impak ke atas ekonomi isi rumah yang terkesan akan berterusan.

"Kempen ini akan dijalankan selama sebulan melalui media konvensional dan sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Artikel Berkaitan:

"Dengan penjimatan yang dilakukan setiap keluarga melalui penggunaan sumber ini, mereka akan mempunyai lebihan dana untuk digunakan bagi membiayai kos kehidupan lain seperti membeli keperluan dapur dan sebagainya," katanya.