16 peniaga 'main' harga dikenakan tindakan

KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Sri Muda.
KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Sri Muda.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemeriksaan mengejut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Pasar Awam Sri Muda, di sini, mengesan segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan 'main' harga.

Pemeriksaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu dijalankan pada jam 8 pagi, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, sekumpulan peniaga ini dikesan dan menganggap pihak berkuasa tidak akan hadir pada hari cuti umum dengan mengambil kesempatan untuk tidak mempamerkan harga pada setiap barangan yang dijual.

"Seramai 16 peniaga telah diambil tindakan dan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Jika disabitkan kesalahan mereka ini akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Peniaga terbabit ingkar terhadap undang-undang ini dan kerap memberi alasan terlupa untuk meletakan tanda harga, namun alasan ini sengaja direka-reka demi memanipulasikan harga dan menjual pada harga yang lebih tinggi daripada harga yang dikawal oleh kerajaan terutama pada musim perayaan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Azman berkata, pihaknya menegaskan keperluan peniaga untuk mematuhi Perintah Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit adalah peraturan dan undang-undang yang wajib dipatuhi.

Katanya, undang-undang ini digubal bagi memastikan setiap peniaga meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna untuk melihat, mengetahui dan membuat perbandingan harga.

"Saya ingatkan para peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan dalam menjalankan urus niaga demi memastikan pengguna mendapatkan hak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna juga diminta untuk sentiasa menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan dalam membuat pembelian ke atas apa-apa barangan keperluan dan jika dikhuatiri ada kesalahan di pihak peniaga, mohon untuk salurkan aduan kepada kami melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau mana-mana saluran yang ada," katanya.