Beri kelonggaran PDK, pusat pendidikan khas beroperasi

Ras Adiba menerima sumbangan daripada Ahmad Marzuk di Putrajaya pada Rabu.
Ras Adiba menerima sumbangan daripada Ahmad Marzuk di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Senator Ras Adiba Radzi menggesa kerajaan memberi kelonggaran kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pusat pendidikan khas beroperasi semula.

Ia berikutan pihaknya mendapat maklum balas bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) dan kategori lemah dalam pelajaran, autisme dan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD) kini berdepan dengan pelbagai cabaran akibat terkurung di rumah.

"Kami menerima banyak permintaan daripada ibu bapa agar PKD dan pusat pendidikan khas beroperasi semula kerana ada yang mengalami tekanan," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Menurutnya, terdapat OKU yang cuba mencederakan diri dan orang sekeliling.

"Mereka berada dalam keadaan sukar kerana selalunya anak-anak boleh dihantar ke kelas-kelas istimewa seperti Genius Kurnia dan sebagainya, tetapi dengan keadaan sekarang, anak-anak ini tak boleh keluar jadi kalau (ibu bapa) yang ada tiga orang anak OKU, mereka susah," katanya.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata, sokongan telah diberikan kepada ibu bapa dan OKU yang memerlukan.

"Jadi saya sangat mengharapkan kerajaan untuk pertimbangkan agar kita dapat menghantar anak-anak istimewa ini ke pusat-pusat pendidikan khas atau PDK yang dapat membantu mereka supaya mereka tak lupa apa yang telah diajar oleh cikgu-cikgu,” katanya.

Terdahulu, Ras Adiba mewakili persatuan itu menerima sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah Covid-19 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ahmad Marzuk Shaary di sini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai sumbangan itu, beliau berkata, ia akan digunakan untuk membantu OKU yang terjejas akibat Covid-19.

“Pasca Covid-19 ini, OKU memang sukar sekali. Jadi kami adakalanya rasa seperti sudah dilupakan tetapi kita dapat melihat ramai yang menyokong.

"Sumbangan ini akan membantu sahabat-sahabat terutama di kawasan Lembah Klang di mana kami boleh memberi mereka sokongan dari segi sumbangan makanan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, sejak dilancarkan Mac lalu, tabung itu telah menerima sumbangan sebanyak RM6.008 juta dan daripada jumlah itu RM3.7 juta telah disalurkan kepada mereka yang layak.

“Sekarang ini keadaan lebih baik dan dengan sokongan yang diberi pada hari ini, Insya-ALLAH kami cuba 'reach out' kepada ramai sahabat di luar sana,” katanya.