Cabaran turun berat badan atasi masalah pelajar obesiti

Noor Effandi Ahmad
Noor Effandi Ahmad
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan Cabaran Turun Berat Badan Dalam Tempoh 50 Hari di setiap sekolah pada tahun depan.

Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, ini berikutan data yang diperoleh menyatakan Melaka antara negeri tertinggi bilangan pelajar obesiti.

Katanya, pada tahun lalu sahaja seramai 4,291 pelajar atau hampir 35 peratus murid berusia 12 tahun dikategorikan obesiti atau hampir obesiti daripada 7,058 murid.

Menurutnya, program itu telah bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas sejak 12 Disember lalu yang turut menerima sebanyak 170 penyertaan termasuk daripada pelajar sekolah yang mempunyai berat badan di bawah 90 kilogram.

"Kita baru mewujudkan program Cabaran 50 Hari pada bulan ini dan mendapat sambutan menggalakkan menerusi dua kategori iaitu berat badan di bawah 90 kilogram (kg) dan atas 90 kg.

"Program di bawah 90 kg turut mendapat penyertaan pelajar sekolah. Hal ini turut mendapat reaksi positif daripada Jabatan Pendidikan Negeri yang mahu kita perluaskan di peringkat sekolah bagi membendung masalah obesiti dalam kalangan pelajar," katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Bukit Beruang, di sini pada Rabu.

Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, program dengan kerjasama Fakulti Kejururawatan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bukan semata-mata memfokuskan kepada penurunan berat badan tetapi apa yang lebih penting dapat membudayakan gaya hidup sihat dan memastikan peserta mendapat berat badan seimbang.

Setiap peserta dibahagikan kepada sepuluh kumpulan kecil yang akan dipantau oleh mentor yang juga pensyarah fakulti kejururawatan dan juara bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM500 dan program ini akan berakhir pada 31 Januari depan," katanya.

Artikel Berkaitan: