Penguat kuasa perlu lebih agresif

Mohd Hafis Khairulah - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Hafis Khairulah - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara perlu lebih agresif dalam mengesan modus operandi yang dilakukan kartel daging import.

Usahawan daging import, Mohd Hafis Khairulah berkata, ini kerana golongan berkenaan sentiasa menukar strategi penyeludupan mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Dalam isu kartel (daging import) ini mereka sentiasa lebih ke hadapan daripada penguat kuasa itu sendiri. Dia lebih 10 tapak ke hadapan, tetapi kita (penguat kuasa) masih berada dalam tapak tahun lepas lagi.

"Jadi, sepatutnya penguatkuasaan kita sendiri kena lebih ke hadapan daripada kartel. Sebab mereka akan sentiasa tukar modus operandi.

"Bila dah kena serbu sekarang ini (kartel daging import). Jadi mereka sentiasa tukar modus operandi. Jadi kita kena belajar lagi apa modus operandi yang akan mereka buat. Itu yang penting," katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohd Hafis turut mengesyorkan agar satu unit khas yang dianggotai kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau agensi berkaitan ditempatkan di pintu masuk sempadan negara.

Menurutnya, langkah itu wajar dilakukan bagi membolehkan unit berkenaan membuat pemeriksaan ke atas produk import yang dibawa masuk khususnya makanan bagi memastikan tidak timbul lagi status halal yang diragui.

Selain itu katanya, penguat kuasa juga perlu memantau penjualan daging secara dalam talian atau media sosial kerana didapati banyak daripada produk yang dijual itu tidak mempunyai sijil halal.

Artikel Berkaitan:

"Hasil risikan yang kami lakukan kebanyakan produk daging import khususnya wagyu yang dijual dalam talian tidak mempunyai sijil halal. Jadi pemantauan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung perkara ini," katanya.