Kes penipuan di Tapah catat kerugian RM2.1 juta

Gambar kecil: Wan Azharuddin
Gambar kecil: Wan Azharuddin
A
A
A

TAPAH - Kurang pendedahan mengenai modus operandi jenayah penipuan dalam talian menjadi punca utama mangsa diperdaya hingga merekodkan kerugian lebih RM2.1 juta sepanjang tahun ini di daerah Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kes yang diterima melibatkan pinjaman yang tidak wujud melalui laman sosial seperti Facebook, Macau Scam, pembelian barangan secara dalam talian, penipuan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan parcel scam.

“Seperti kes pinjaman tidak wujud, modus operandi yang digunakan ialah penyamaran sebagai pegawai bank yang menawarkan skim pinjaman bayaran bulanan yang murah dengan kadar faedah yang rendah.

"Walaupun sindiket ini menjanjikan proses pinjaman yang mudah dan segera, namun mereka akan mengenakan beberapa caj tambahan yang tidak wujud di mana bayaran itu kononnya akan dikembalikan bersama wang pinjaman," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, bagi kes Macau Scam pula, suspek akan menyamar sebagai pegawai dari bank, mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Suspek akan menakutkan mangsa dengan menyatakan mereka telah terlibat dengan jenayah seperti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan pengeluaran waran tangkap ke atas mangsa.

"Menerusi modus operandi itu, suspek akan mengenakan caj tambahan yang tidak wujud kepada mangsa bagi menyelesaikan kes jenayah tersebut," katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat akaun bank atau kad wang mesin juruwang automatik (ATM) kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan diri mereka menjadi 'keldai akaun' kepada sindiket penipuan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah turut menerima laporan membabitkan kes pecah amanah jenayah membabitkan kerugian sebanyak RM223,182.70 dan kes pinjaman wang tidak berlesen berjumlah RM142,000.