Hubungi pejabat kesihatan jika pulang ke Perlis dari zon merah

Individu dari zon merah pulang ke Perlis diminta segera hubungi Bilik Gerakan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Kangar untuk pemakluman, deklarasi kesihatan dan penilaian risiko.- Foto Bernama
Individu dari zon merah pulang ke Perlis diminta segera hubungi Bilik Gerakan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Kangar untuk pemakluman, deklarasi kesihatan dan penilaian risiko.- Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Jabatan Kesihatan Negeri Perlis meminta individu dari zon merah yang pulang ke negeri ini agar segera menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Kangar untuk melakukan pemakluman, deklarasi kesihatan serta penilaian risiko terhadap mereka.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata, individu yang bergejala perlu segera ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapat rawatan, menjalani ujian Covid-19 dan diberikan arahan kuarantin.

“Jika gejala yang dialaminya adalah teruk, rujukan ke hospital akan dilakukan segera, manakala individu yang tidak bergejala dinasihatkan untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan menjalani kuarantin kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bermula 7 hingga 28 Disember, Bilik Gerakan Covid-19 telah menerima 468 panggilan telefon daripada individu yang masuk ke Perlis dari zon merah dan daripada jumlah itu, seramai 257 individu telah diarah menjalani kuarantin di rumah, manakala 117 individu telah melakukan ujian saringan.

“Daripada jumlah keseluruhan individu yang telah dikenal pasti pulang ke Perlis dari zon merah, 70 peratus adalah individu yang pulang melawat keluarga di kampung, manakala selebihnya atas urusan kerja dan melancong,” katanya.

Dr Sirajuddin berkata, Jabatan Kesihatan percaya masih terdapat individu dari zon merah yang pulang ke Perlis tidak memberi makluman kepada Bilik Gerakan Covid-19.

Katanya, rakyat Perlis yang juga diibaratkan sebagai barisan hadapan negeri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Perlis terus kekal berstatus hijau.

“Ketua keluarga hendaklah memantau status kesihatan diri dan keluarga. Pastikan ahli keluarga menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, menjaga penjarakkan fizikal dan segera mendapatkan rawatan jika bergejala serta elakkan menerima kunjungan terutama melibatkan individu dari zon merah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan juga meminta jawatankuasa penduduk digerakkan sebagai penyelaras aktiviti kawalan dan pencegahan dalam komuniti dengan ketua komuniti perlu sentiasa memberi motivasi kepada ahli komuniti agar lokaliti masing-masing terus kekal berstatus hijau.

“Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada aktiviti berkumpulan yang meragukan. Had dan rekodkan pergerakan keluar masuk penduduk setempat dan pelawat dari zon merah dan jika ada kes disyaki Covid-19, segera laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sehingga 12 tengah hari pada Selasa, Perlis mencatatkan sejumlah 46 kes, 43 kes telah sembuh dan satu kes (import B) masih dalam rawatan, manakala jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal dua kes. - Bernama