Gempa bumi: Tiada rakyat Malaysia tinggal di Petrinja

Pekerja membersihkan serpihan selepas gempa bumi berlaku di Petrinja. - Foto Xinhua
Pekerja membersihkan serpihan selepas gempa bumi berlaku di Petrinja. - Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada rakyat Malaysia yang berdaftar tinggal di pusat gempa bumi di Petrinja, sebuah bandar kira-kira 60 kilometer dari ibu negara Croatia, Zagreb.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb telah berjaya menghubungi rakyat Malaysia yang tinggal di Zagreb dan tiada yang dilaporkan berada dalam bahaya.

“Kementerian Luar sedang memantau perkembangan selepas gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter pada Selasa di Petrinja.

“Kementerian ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah kerajaan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Croatia, khususnya mereka yang terkesan dengan bencana itu secara langsung. Malaysia bersama-sama dalam solidariti pada tempoh sukar ini,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa bermagnitud 6.4 gegar Croatia

Tujuh maut gempa bumi di Croatia

Rakyat Malaysia di Republik Croatia boleh menghubungi kedutaan untuk mendapatkan bantuan konsular melalui telefon di talian (+385-1-4834346 / +385-1-4834347); faks (+ 385-1-4834348); atau e-mel di mwzagreb@kln.gov.my.

Menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC), gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan Petrinja pada 12.19 tengah hari waktu tempatan (1119 GMT), Selasa.

Artikel Berkaitan:

Agensi berita Xinhua melaporkan polis tempatan mengesahkan lima orang terbunuh dalam kejadian gempa bumi di Petrinja. - Bernama