Terpulang pada keyakinan, makan daging import atau tidak

Zulkifli (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bagi Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) kepada Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (dua dari kiri). - Foto UniSZA
Zulkifli (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bagi Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) kepada Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (dua dari kiri). - Foto UniSZA
A
A
A

KUALA NERUS- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, terpulang kepada orang ramai sama ada ingin terus makan daging import atau tidak, mengambil kira keyakinan masing-masing.

Menurutnya, pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mufti telah memberikan kenyataan dan pandangan masing-masing serta ia telah dibahaskan di Dewan Negara.

Bagaimanapun, sekiranya masih was-was, mereka perlu menghindarkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

"Sebahagian (daging halal) telah disahkan semalam (Selasa) oleh KPDNHEP dan jawapan itu sudah boleh kita ambil kira. Jadi pandangan yang dikemukakan samahah-samahah, lebih kepada untuk ikhtiar ataupun mengambil jalan berhati-hati.

"Tetapi apabila disahkan oleh sebahagian daripada pihak berwajib yang menyertai dan membuat kajian dan telah masuk dalam Parlimen semalam melalui Dewan Negara dan ada usul khas yang dijawab dengan tuntas oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, ia memberi jawapan yang melegakan kita semua.

"Saya berdoa pada ALLAH SWT supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya," katanya selepas merasmikan Program Dana Inspirasi Malaysia di Universiti Sultan Zainal Abidin, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan orang ramai agar menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu, sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti gesa hukuman berat ke atas pihak palsukan logo halal

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Jakim telah mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import, seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Jelasnya, Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, jabatan berkenaan juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, selain pengimport dan pengedar daging pada awal bulan depan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau telah memberikan sumbangan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) kepada 593 orang pelajar UniSZA, dengan keseluruhan sumbangan bernilai RM296,500.

Program itu adalah hasil kerjasama antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang mana sumbangan berbentuk wang tunai akan disalurkan ke akaun universiti bagi membayar yuran pengajian dan lain-lain.