Lelaki pandu kereta Kancil lawan arus dicari

Rakaman video memaparkan sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 1 Jalan Banting Jugra pada Selasa. - Foto Viral Facebook
Rakaman video memaparkan sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 1 Jalan Banting Jugra pada Selasa. - Foto Viral Facebook
A
A
A

BANTING - Polis mengesan pemandu Perodua Kancil yang memandu melawan arus di Kilometer 1, Jalan Banting-Jugra di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalarifin Aman Shah berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit kira-kira jam 11.45 malam susulan tular satu rakaman video di media sosial.

"Berdasarkan rakaman itu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki keluar dari arah Jalan Bandaran menghala ke Jugra.

"Kereta terbabit yang berada di lorong kanan telah masuk ke laluan bertentangan sehingga simpang lampu isyarat Jalan Sungai Nangka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat, pihaknya telah mengesan rumah pemilik kenderaan terbabit dan kereta tersebut berada di luar pagar rumah.

Katanya, bagaimanapun tiada penghuni di rumah berkenaan dan usaha mengesan pemandu tersebut giat dilakukan.

"Polis meminta saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil salurkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Masrol Mohd Din di talian 0111-8539115," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: