Mohd Ekhwan dilantik Naib Canselor UKM baharu

Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman
Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Rabu mengumumkan pelantikan Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelantikan tersebut berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.

"Saya percaya dengan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran, beliau dapat meneruskan kegemilangan UKM sebagai satu daripada universiti terulung di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Ekhwan, 51, merupakan graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.

Beliau seterusnya memperoleh Sarjana (MSc) dari University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.

Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT serta jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Bernama

Artikel Berkaitan: