Harga minyak pacu ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS pada Rabu berikutan sentimen positif, dipacu oleh peningkatan harga minyak yang terus diniagakan dengan lebih kukuh
Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS pada Rabu berikutan sentimen positif, dipacu oleh peningkatan harga minyak yang terus diniagakan dengan lebih kukuh
A
A
A

RINGGIT dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan sentimen positif, dipacu oleh peningkatan harga minyak yang terus diniagakan dengan lebih kukuh, kata penganalisis.

Pada jam 9.01 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0430/0470 berbanding dolar AS daripada paras 4.0480/0510 pada Selasa.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata, ringgit berada dalam wilayah pertengahan yang amat positif sekitar paras 4.05 selepas mengalami pelbagai perkembangan turun naik sebagaimana mata wang berkaitan minyak lainnya, sepanjang tahun ini.

“Kita akan melihat ramai peniaga tempatan mengakhiri aktiviti mereka bagi tahun ini, namun ringgit dijangkakan terus diniagakan secara stabil walaupun berlakunya beberapa aktiviti pengambilan untung di peringkat ekuiti global," katanya kepada Bernama.

Pada pagi ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global naik 0.39 peratus untuk diniagakan pada AS$51.29 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura pada 3.0472/0504 daripada 3.0484/0509 pada Rabu namun susut berbanding euro kepada 4.9595/9661 daripada 4.9584/9625 pada Selasa.

Ringgit juga jatuh sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.9063/9109 daripada 3.9039/9080 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4625/4691 daripada 5.4527/4587 sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: