X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang Parlimen 2020 diuji ancaman Covid-19, ketidaktentuan politik

Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga, kanan) mengaminkan doa dibaca oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (empat dari kiri) selepas undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 15 Disember lalu. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat untuk penggal ketiga Parlimen ke-14 melabuhkan tirainya pada 17 Disember lalu, menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal utuh menerusi sistem demokrasi berparlimen di Malaysia di sebalik ketidaktentuan politik dan ancaman pandemik Covid-19.

Selepas kemelut politik pada Februari yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan, isu keabsahan kerajaan PN mula menjadi bualan.

Tumpuan sebahagian besar rakyat kemudian terarah kepada mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada 18 Mei, selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri yang dibawa Ahli Parlimen (MP) Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dewan Rakyat pada asalnya dijadualkan bersidang dari 9 Mac hingga 16 April, namun ditangguhkan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang turut menyaksikan mesyuarat pada 18 Mei itu hanya bersidang sehari, iaitu bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semasa merasmikan penggal itu, Al-Sultan Abdullah yang prihatin dengan situasi rakyat yang berdepan kesukaran akibat Covid-19, menitahkan wakil rakyat agar tidak mengheret negara ke dalam satu lagi kemelut politik.

Isu keabsahan persidangan sehari itu turut berbangkit dan dibawa ke mahkamah oleh dua individu, namun Mahkamah Tinggi pada 3 September menolak permohonan saman pemula yang dikemukakan mereka serta memutuskan persidangan tersebut sah dan mengikut undang-undang, mengambil kira penularan pandemik Covid-19.

Usul undi tidak percaya serta undi percaya terhadap perdana menteri 'muncul' dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi mesyuarat kedua yang berlangsung bermula 13 Julai, namun Muhyiddin dilihat mendapat sokongan majoriti MP selepas usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dibawanya mendapat sokongan 111 MP berbanding 109 tidak menyokong dalam undi belah bahagian.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10, manakala Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) melakar sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Persidangan selama 25 hari itu berlangsung dalam normal baharu ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dengan pematuhan prosedur operasi standard termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan satu meter, selain penghadang kaca diletakkan di antara tempat duduk ahli Parlimen.

Bagaikan tiada kesudahan, mesyuarat ketiga yang berlangsung dari 2 November hingga 17 Disember lalu dengan agenda utama Belanjawan 2021, turut diselubungi ketidaktentuan politik selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada MP untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Belanjawan pertama kerajaan PN selepas enam bulan mentadbir negara bukan sahaja dinantikan oleh majoriti rakyat dan industri yang terkesan oleh pandemik Covid-19, tetapi turut dilihat menjadi medan menguji sokongan terhadap Muhyiddin.

Setelah diluluskan di peringkat dasar dengan suara majoriti, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu berdepan cabaran daripada blok pembangkang apabila sembilan daripada 27 kementerian melalui proses undi belah bahagian sebelum diluluskan di peringkat jawatankuasa.

Seolah menekankan setiap undi berharga bagi meluluskan belanjawan itu, tiga MP yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas menjadi kontak rapat individu positif Covid-19, hadir ke mesyuarat bagi proses pengundian, lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE).

Belanjawan terbesar dalam sejarah negara membabitkan peruntukan mencecah RM322.5 bilion itu akhirnya diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 MP bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Sepanjang tempoh itu juga dua kerusi Parlimen kosong susulan kematian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) pada 2 Oktober dipercayai akibat jangkitan paru-paru dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada 16 November kerana serangan jantung.

Sementara itu, Dewan Negara turut menyaksikan perubahan dengan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 pada 2 September lalu, menggantikan Tan Sri S A Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lepas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara pada 16 Disember menggantikan Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad yang tamat penggal perkhidmatan pada 22 November. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!