Veto Trump ditolak Republikan

Anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat di Washington menolak veto Presiden Donald Trump terhadap satu rang undang-undang pertahanan pada Isnin lalu. - Foto AFP
Anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat di Washington menolak veto Presiden Donald Trump terhadap satu rang undang-undang pertahanan pada Isnin lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) memberikan tamparan hebat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin apabila menolak veto beliau berhubung rang undang-undang pertahanan pada hari-hari terakhirnya memegang jawatan itu.

Parti Demokrat yang menguasai dewan tersebut memperoleh 322 undi bagi menolak veto itu manakala 87 lagi menentang rang undang-undang pertahanan bernilai AS$740.5 bilion (RM2.9 trilion).

Seramai 109 anggota Republikan iaitu parti yang disertai Trump turut bertindak menyebelahi parti Demokrat ketika menolak veto berkenaan.

Usul yang sama akan dibawa ke Dewan Senat yang dikuasai oleh parti Republikan.

Sokongan undi dua pertiga diperlukan untuk menolak veto Trump itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas undian itu, Speaker Dewan Perwakilan daripada parti Demokrat, Nancy Pelosi membidas veto Trump sebagai satu tindakan semberono.

Undian itu berlaku selepas Trump enggan menandatangani rang undang-undang bantuan koronavirus (Covid-19) bernilai AS$900 (RM3.6 trilion) dan pakej rangsangan yang sebelum ini beliau mengancam mahu melakukan veto terhadapnya.

Namun, Trump akhirnya meluluskan rang undang-undang bantuan Covid-19 selepas mendapat tekanan daripada anggota parti Demokrat dan Republikan.

Artikel Berkaitan:

Penolakan veto itu merupakan tanda-tanda terbaharu kuasa Trump semakin terhakis sebelum bilionair hartanah itu meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari tahun depan.

Rang undang-undang yang diveto Trump itu ialah Akta Pemberian Kuasa Pertahanan Kebangsaan yang diluluskan dalam bulan ini dengan 335 anggota menyokong dan 78 lagi menentang di dalam Dewan Perwakilan manakala 84 menyokong serta 13 lagi tidak bersetuju di Dewan Senat.

Bagaimanapun, ia kemudian diveto oleh Trump disebabkan Presiden AS itu sebelum ini meminta Kongres Suruhanjaya Komunikasi dan lain-lain agensi kerajaan untuk mengubah suai atau menghapuskan Sesyen 230 Akta Komunikasi Kesopanan.

Trump mahu syarikat-syarikat laman sosial digugurkan daripada mendapat perlindungan undang-undang kerana kandungan yang dimuat naik oleh para pengguna mereka. - Agensi