15 anggota IPD Kota Bharu dikuarantin

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 15 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kini dikuarantin di rumah masing-masing selepas dikenal pasti kontak rapat dengan seorang tahanan positif Covid-19 dari Selayang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Pian berkata, mereka termasuk seorang pegawai telah menjalani ujian swab pada 25 Disember lepas dan didapati negatif.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan ujian kali kedua yang dilakukan terhadap semua anggota polis lelaki itu semalam dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

"Sebelum ini kesemua mereka sudah menjalani kuarantin di rumah sebaik sahaja dikesan menjadi kontak rapat kepada tahanan terbabit.

"Kita berharap keputusan yang bakal keluar adalah negatif dan tiada anggota yang dijangkiti di dalam pasukan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, kira-kira 1,000 individu di negeri itu menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik kesihatan dan hospital pada Isnin.

Mereka terdiri daripada individu yang balik dari luar negara, kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 serta yang hadir secara sukarela membuat ujian. - Bernama

Artikel Berkaitan: