Dah tahu jangan buat tak tahu

A
A
A

Bukan empat hari, bukan empat minggu, bukan empat bulan tetapi bertahun kita termakan daging haram! Selama ini kita ingat apa yang disuap itu daging halal sebab ia dihidang di restoran Muslim.

Tauke restoran pula terbeli daging haram itu sebab dia yakin daging yang dibeli itu daging halal kerana ada cap halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)!

Selama ini kita sebagai pengguna dan tauke-tauke restoran ditipu hidup-hidup dengan daging haram yang bercap halal. Mati-mati selama ini kita ingat kita makan daging halal, siap jamu keluarga dengan makan ramai-ramai sempena upacara hari jadi nenek yang kita bawa dengan kerusi roda ke restoran. Kita makan daging haram dengan bacaan bismillah, siap berdoa ramai-ramai.

Ya ALLAH, petaka apakah yang melanda kita semua pada hari ini setelah berpuluh tahun termakan daging haram? Kita marahkan mereka yang menerima rasuah dan belanja makan minum keluarga dengan duit haram.

Kini kita apa kurangnya? Kita tak makan yang halal dengan duit haram seperti perasuah itu, sebaliknya kita makan yang haram daripada duit halal! Tidakkah dua kali lima?

Jika orang yang rasuah itu makan dengan duit haram dan tumbuh daging tubuh dengan wang haram, kita yang marah mereka tak sedarkah yang kita pula melantak daging haram?

Al-Quran melarang kita memakan yang haram. Makanan yang haram akan menjadi darah daging yang kemudiannya akan dibakar dengan api neraka. Api neraka bukannya api daripada arang yang perlahan membakar daging haram yang kita makan itu. Api neraka adalah amat panas yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu yang merentungkan!

Benar, jika kita tidak tahu apa yang kita makan, jika kita termakan dengan tidak sengaja, insya-ALLAH kesalahan itu diampunkan ALLAH. Tentu sekali asalkan kita tidak membaham daging yang haram itu lagi. Mereka yang menipu kita dengan menampal label Jakim yang palsu ke atas daging yang haram itu akan menerima padah dari segi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Kini kita heboh dan kepoh mengirim kepada teman-teman jenama daging yang haram yang kita temui di media sosial agar mereka berhati-hati. Kita mendesak agar mereka yang bersekongkol membiarkan penipuan cap ini dibawa ke muka pengadilan dan dihukum. Kita sokong apabila para ustaz mengeluarkan pandangan dan para aktivis pengguna mengkritik pihak penguat kuasa yang membiarkan hal itu berleluasa.

Kita sokong semua yang orang lain buat tetapi apa yang kita sendiri buat? Apakah kita sudah berhenti membeli dan memakan daging import buat sementara waktu apabila isu itu tercetus? Apakah kita hanya mula membeli daging segar di pasar tani untuk mengelak diri dan keluarga termakan daging haram?

Apakah kita sudah tarbiah kepada ahli keluarga dan kawan-kawan untuk mengelak diri daripada termakan daging yang haram itu? Apakah peniaga-peniaga pasar mini dan restoran pula buat notis pengesahan yang daging sejuk beku yang mereka jual itu adalah daging halal?

Sekiranya kita lantang mengkritik isu tersebut, kita sendiri jangan pula berdiam diri membiarkan ahli keluarga mahupun kawan membaham daging yang belum tentu halal haramnya.

Menurut panduan Rasulullah SAW, kita kenalah tinggalkan apa yang meragukan. Jangan pula makan daging haram seperti biasa kerana kononnya pihak berwajib tidak keluar-kan apa-apa kenyataan lagi. Bila dah tahu, jangan pula buat-buat tak tahu. Ia tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian