X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran cuaca waspada, hujan lebat di beberapa negeri

Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri bermula Rabu sehingga 2 Januari ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, amaran peringkat kuning di Sabah akan melibatkan kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat (Kota Marudu) serta Labuan berkuat kuasa Rabu sehingga Khamis ini.

Beliau berkata, amaran sama turut dikeluarkan di Terengganu (Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) mulai Khamis hingga Sabtu ini selain di Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu) dari Jumaat sehingga Sabtu ini.

“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.

“Kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam, sekali gus berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Jailan berkata, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah dalam tempoh berkenaan dan keadaan itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!