IICC mercu tanda baharu Bandaraya Ipoh

Teng Boon (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Yong Chin sempena majlis menandatangani perjanjian kolaboratif antara MBI, Bond Holding Sdn Bhd dan Sycal Berhad di Ipoh pada Selasa.
Teng Boon (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Yong Chin sempena majlis menandatangani perjanjian kolaboratif antara MBI, Bond Holding Sdn Bhd dan Sycal Berhad di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) bakal menjadi mercu tanda baharu Bandaraya Ipoh pada tahun depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bangunan seluas 28,000 kaki persegi bernilai RM425 juta itu hasil kerjasama eksklusif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan syarikat pembinaan Sycal Berhad.

Beliau berkata, IICC bakal menjadi pusat perkembangan ilmu dan kerjaya dengan mempunyai pusat konvensyen serta kemudahan ruang kerja yang lengkap dan moden.

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama atau kolaborasi strategik pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan semua pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam.

“Ini penting kerana PBT seperti MBI tidak boleh beroperasi secara bersendirian bagi memenuhi tanggungjawabnya yang semakin mencabar dalam memajukan bandar raya yang mampan dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian kolaboratif antara MBI, Bond Holding Sdn Bhd dan Sycal Berhad di sini pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon dan Pengarah Urusan Sycal Berhad, Datuk Seow Yong Chin.

Saraani berkata, MBI digalakkan untuk terus berusaha meneroka peluang baharu menerusi kolaboratif strategik.

“Kolaboratif sebegini dapat menjadikan Ipoh menjadi sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa dari pelbagai aspek sama ada pelaburan, peluang pekerjaan, kemantapan pembangunan fizikal dan kecanggihan prasarana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rumaizi berkata, IICC merangkumi dewan bankuet yang boleh digunakan untuk acara makan malam tahunan, ceramah korporat, pameran perdagangan, bazar komuniti, persidangan bengkel dan lain-lain aktiviti.

Menurutnya, Bond Holdings Sdn Bhd pula akan menguruskan Bond Suites yang dilengkapi pelbagai kemudahan serta menawarkan gaya hidup bandar yang sempurna.

“Bond Suites yang terletak bersebelahan dengan IICC akan menyediakan kemudahan ‘Co-Working Space’. Ruang kerja yang lengkap dan ideal untuk para profesional muda yang inginkan gaya hidup yang kondusif dalam kehidupan seharian.

“Dengan lokasinya yang strategik dan kelengkapan yang lengkap sememangnya akan menjadikan Bond Suite sebagai satu pelaburan yang baik yang seterusnya memberi penjenamaan baru kepada Bandaraya Ipoh,” katanya.