TMJ pecah tanah TMIYC Muar

Tunku Ismail diiringi Reezal Merican dan Hasni melihat pameran selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah TMIYC Muar, di Muar pada Selasa. - Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
Tunku Ismail diiringi Reezal Merican dan Hasni melihat pameran selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah TMIYC Muar, di Muar pada Selasa. - Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
A
A
A

MUAR - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tunku Makhota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar, di sini pada Selasa.

Pembinaan TMIYC Muar merupakan visi Tunku Ismail untuk memperkasakan pembangunan golongan belia Johor terutama di daerah berkenaan.

TMIYC Muar akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi manfaat golongan muda dan menjadi tumpuan belia tempatan untuk pelbagai aktiviti termasuk secara berkumpulan.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Unit Media dan Komunikasi Istana Pasir Pelangi dalam satu kenyataan memberitahu, matlamat TMIYC Muar untuk membuka ruang yang kondusif bagi membolehkan belia Johor mencungkil bakat untuk perkembangan dan potensi diri mereka.

"Ini melalui kemudahan seperti padang bola sepak sintetik, gelanggang sukan ekstrem, hab e-sports dan gelanggang futsal serta asrama bagi penginapan pengunjung.

Tunku Ismail (tengah), Reezal Merican (tiga dari kanan) dan Hasni (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah TMIYC Muar, di Muar pada Selasa. - Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
Tunku Ismail (tengah), Reezal Merican (tiga dari kanan) dan Hasni (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah TMIYC Muar, di Muar pada Selasa. - Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor

"Pada masa akan datang, belia di Muar dan daerah lain tidak perlu jalan jauh untuk menikmati kemudahan yang moden dan berkualiti tinggi untuk kerja mahupun rekreasi," jelas kenyataan itu yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, pusat tersebut merupakan hasrat dan azam Tunku Ismail untuk membawa pembangunan di seluruh negeri dan warga Johor, terutama golongan belia.

"Sempena keberangkatan Tunku Mahkota Johor ke Muar, sumbangan sebanyak RM300,000 dikurniakan untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar miskin dari 96 buah kampung di sekitar daerah Muar.

"Diharapkan sumbangan ini dapat memenuhi keperluan pembelajaran para pelajar. Tunku Mahkota Johor juga mengulangi hasrat dan visi untuk membina Youth Centre di setiap daerah di Johor bermula dengan TMIYC Johor Bahru dan kini di Muar," demikian menurut kenyataan tersebut.

Tunku Mahkota Johor juga berjanji untuk terus berusaha membangkitkan belia dan membentuk modal insan yang telus, berakhlak mulia dan bertanggungjawab demi masa depan yang cerah bagi negeri ini.

Pada 21 Disember lalu, Tunku Ismail merasmikan TMIYC Johor Bahru di Hutan Bandar, Johor Bahru di kawasan yang berkeluasan 6.07 hektar menempatkan 11 kemudahan untuk rekreasi dan pelbagai aktiviti.